suria

Warga emas sebak kongsi kisah perit selepas bersara, ramai syukur sertai program IPR-Intan... Kehidupan berubah 180 darjah

Peserta IPR-Intan gembira melihat tanaman cili yang diusahakan. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

KEPERITAN hidup membuatkan sesetengah individu terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja dalam satu masa, malah ada yang perlu mengerah tenaga di usia senja.

Begitulah dugaan yang dilalui salah seorang peserta Program Usahawan Tani (Intan) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Kementerian Ekonomi, di Putrajaya.

Mokhtar M Lani yang berusia 62 tahun mengakui kehidupan yang dilaluinya sebelum menyertai program tersebut amat perit ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Mana tidaknya, pendapatan yang diperolehnya ketika itu hanya RM300 hingga RM500 sebulan.

Peserta memberi perhatian pada tumbesaran anak pokok. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Peserta memberi perhatian pada tumbesaran anak pokok. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Menurut warga emas yang mesra disapa Pak Mok, segalanya berubah selepas dia yang merupakan pemandu bas di Putrajaya bersara dua tahun lalu.

“Sejak bersara pada usia 60 tahun, saya perlu melakukan pelbagai pekerjaan bagi memperoleh duit untuk menampung perbelanjaan keluarga dan kehidupan harian.

“Kadang-kadang kawan akan panggil untuk bawa lori sebab saya ada lesen tapi kebiasaannya saya akan kutip kotak di sekitar Putrajaya dan menjualnya sebagai sumber pendapatan,” ujarnya sebak ketika ditemui.

Pada masa sama, dia juga perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada isteri yang mengalami sakit lutut dan masalah kesihatan lain yang memerlukan janji temu berjadual di hospital.

Keadaan itu sekali gus menjadi kekangan buat bapa kepada empat anak ini untuk mendapatkan pekerjaan tetap yang lebih terjamin.

“Isteri dah lama sakit lutut dan perlu hadir ke hospital untuk beberapa lagi masalah kesihatan yang lain. Dia juga ada kad OKU (orang kurang upaya). Saya yang uruskan sepenuhnya,” luahnya yang bersyukur kerana dipilih menyertai program IPR-Intan.

Pak Mok menunjukkan pokok cili yang diusahakannya. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Pak Mok menunjukkan pokok cili yang diusahakannya. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Memanfaatkan peluang yang diwujudkan kementerian, Pak Mok berkata, kehidupannya berubah 180 darjah selepas mengusahakan tanaman cili di bawah program IPR-Intan yang bermula 31 Ogos lalu.

Selain menjana pendapatan tetap setiap bulan, dia juga dapat menguruskan isteri termasuk membawanya menghadiri janji temu kesihatan di hospital seperti yang ditetapkan.

Meskipun tidak mempunyai asas berkebun mahupun penanaman berskala besar, dia kini dapat menarik nafas lega apabila usahanya semakin membuahkan hasil.

“Saya sangat teruja dengan program ni sehingga fokus terhadapnya lebih daripada keluarga. Bagi saya, program ini bukan calang-calang.

“Awal-awal semai anak benih cili, memang rasa letih sangat. Tapi selepas nampak ia berkembang dan kini menjadi pokok, hati serta semangat saya pun ikut ‘berkembang’,” tambahnya.

Keterujaan itu turut dirasai seorang lagi peserta, Mohd Norazle Rosli yang berjaya melepasi tapisan temuduga bagi program IPR-Intan.

Berusia 41 tahun, bapa kepada seorang cahaya mata ini sanggup mengorbankan masa rehat dan tidurnya demi menambah pendapatan keluarga.

Kabin turut disediakan untuk kemudahan peserta. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Kabin turut disediakan untuk kemudahan peserta. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Jika dahulu, dia perlu ‘terkejar-kejar’ dan kerja lebih masa untuk pekerjaan e-hailing sebagai sumber rezeki, namun kini usahanya tertumpu kepada penanaman cili yang memberi pulangan lumayan.

“Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam, bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi keesokannya. Kemudian saya akan sambung bekerja di kebun cili.

“Boleh dikatakan waktu siang saya, sepenuhnya dihabiskan di sini. Tidur hanya empat jam iaitu semasa waktu rehat yang ditetapkan,” ujarnya yang mahu mengubah taraf kehidupannya.

Turut menzahirkan rasa syukur, dia menyatakan keputusan untuk menyertai program Intan dibuat selepas ‘mendalami’ rancangan pelaksanaan projek.

“Saya tengok pelaksanaan ini sistematik, ada cikgu yang akan sentiasa membantu serta memberi tunjuk ajar dan nasihat. Macam saya, hampir-hampir putus asa apabila anak pokok lambat naik.

“Selepas dapat tunjuk ajar, saya gembira kerana tanaman dapat berkembang dan tumbuh normal. Saya berharap hasil yang dituai nanti seperti sasaran yang telah ditetapkan,” ujarnya gembira.

Anak pokok cili mula mengeluarkan hasil. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Anak pokok cili mula mengeluarkan hasil. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Bagi seorang lagi peserta, Luqman Nur Hakim Alias, pengalaman berkhidmat di sebuah syarikat berkaitan penanaman cili sebelum ini tidak akan dipersia-siakan.

Diangkat sebagai ‘mentor’, dia menasihati rakan-rakan peserta supaya sentiasa berdisiplin agar hasil yang dituai lebih banyak dan seterusnya memberikan pulangan yang memberangsangkan.

Dia yang berusia 33 tahun mengakui, peluang yang disediakan itu dapat membantu golongan muda sepertinya menimba ilmu dan kemahiran bagi membina empayar perniagaan sendiri pada masa akan datang.

Malah kata pemuda itu, selepas projek yang memakan masa dua tahun itu tamat, dia mahu mengusahakan sendiri kebun cili sebagai sumber pendapatan utama.

“Program ni membantu saya mendapatkan kemahiran tentang teknik penanaman cili secara fertigasi selain membuka peluang untuk ‘networking’.

“Saya bercadang untuk meneruskan usaha ini selepas tamat program IPR-Intan,” tambahnya.

Tanaman cili boleh dituai pada Disember. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Tanaman cili boleh dituai pada Disember. -Gambar Yap Chee Hong/The Star

Terdahulu, projek IPR-INTAN di Putrajaya melibatkan keluasan 30 ekar dan 120 peserta dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang serta Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat.

Fasa 1 telah bermula dengan penanaman cili secara fertigasi di atas tanah berkeluasan 10 ekar yang akan memanfaatkan 20 peserta.

Kesemua mereka akan mengendalikan 40,000 polibeg cili dengan jangkaan tuaian adalah pada pertengahan bulan Disember.

Jangkaan hasil adalah sebanyak 100 tan metrik dan memberikan pendapatan kira-kira RM2,300 sebulan kepada setiap peserta.

Maklumat lanjut mengenai program IPR-Intan, boleh layari laman web Kementerian Ekonomi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain