suria

Makin senang nak perbaharui cukai jalan, guna aplikasi MyJPJ je... Paling menarik ada rebat RM5!

Cukai jalan dan lesen kenderaan boleh diperbaharui melalui aplikasi MyJPJ -Gambar The Star

URUSAN memperbaharui cukai jalan kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kini lebih mudah apabila orang ramai boleh melakukannya menerusi aplikasi MyJPJ bermula Februari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penambahan fungsi baharu berkenaan akan memudahkan orang ramai untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital selain menjimatkan masa dan kos.

Malah inisiatif ini juga dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara),” katanya.

Menurut beliau, untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) ketika pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5.

Rebat tersebut akan dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember.

Selain itu kata beliau, orang ramai juga boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau cukai jalan digital menerusi aplikasi MyJPJ bermula pada Selasa.

Jelas Anthony, fungsi baharu itu membantu pemilik kenderaan berkongsi e-LKM dengan individu lain sama ada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Menurut beliau, pemilik kenderaan hanya perlu menekan nombor plat kenderaan dan butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian tersebut.

“Fungsi ini mempunyai tempoh had masa perkongsian yang ditetapkan oleh pemilik dan kod pengaktifan perlu diberikan kepada penerimanya.

“Sistem itu akan menghapuskan rekod perkongsian jika tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” katanya lagi.

Kata beliau, inisiatif itu bertujuan membantu pemandu yang memandu kenderaan individu lain untuk menunjukkan cukai jalan kepada pihak berkuasa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain