suria

Anak aktif semacam selepas ibu bancuh susu guna air syabu milik suami! Pasangan suami isteri ditahan

Bayi yang masih kecil tidak wajar disuap dengan makanan orang dewasa, apatah lagi diberi bahan terlarang. -Gambar hiasan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan pasangan suami isteri yang tersilap membancuh susu bayi mereka menggunakan cecair dadah jenis syabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail, kes berlaku pada 19 Februari manakala pasangan itu ditahan pada 20 Februari selepas satu aduan dibuat oleh Hospital Kajang.

Kes melibatkan bayi berusia setahun empat bulan itu berlaku di flat yang didiami mereka di Taman Medan.

"Difahamkan bayi lelaki itu dihantar oleh suami isteri terbabit kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.

"Semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal. Wanita itu kemudian bertanyakan punca tingkah laku pelik bayi itu kepada ibu mangsa.

"Ketika itu, ibu mangsa berusia 34 tahun mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya berusia 40 tahun," katanya.

Menurut polis lagi, pasangan suami isteri itu juga didapati positif dadah.

"Semakan mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual air balang turut mempunyai rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

Bayi itu kini berada di Hospital Kajang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pasangan itu pula direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain