suria

Ibu mangsa tanah runtuh Batang Kali beranikan diri jejak lokasi tragedi... Rasa rindu arwah Nurul Azwani tak pernah luput

Siti Esah Hassan menunjukkan gambar anak sulungnya, Allahyarham Nurul Azwani yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022. -Gambar Shaari Chemat/The Star

RINDU dan teringat kepada orang yang dah tiada ni sakit sangat.”

Demikian tutur Siti Esah Hassan ketika berkongsi cerita selepas lebih setahun pemergian anak sulungnya, Allahyarham Nurul Azwani Kamarulzaman, yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022.

Selain Nurul Azwani, insiden tersebut turut mengorbankan 30 nyawa lain yang berada di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, tidak pernah sekalipun ingatannya terhadap Nurul Azwani luput apatah lagi dia sememangnya tinggal bersama-sama dengan Allahyarham selepas dua anaknya yang lain mendirikan rumah tangga.

azwani 3

Gambar kenangan Siti Esah (tengah) bersama Nurul Azwani (kiri), dua anak perempuan, menantu dan cucunya.

"Saya rasa seperti dia ada, seolah-olah terngiang-ngiang suaranya. Walau dah setahun lebih insiden itu, hati susah nak lupa dia lebih-lebih lagi kami tinggal berdua.

"Apabila rindu, memang mengalir air mata ni dan cepat-cepat hadiahkan al-Fatihah untuknya. Saya selalu masuk bilik arwah tapi tak boleh lama-lama sebab terlalu sedih.

"Saya masuk sekejap untuk lepaskan rindu. Selalu juga saya ajak anak bongsu untuk pergi ke kuburnya di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Gombak," ujarnya yang kini ditemani anak bongsunya selepas ketiadaan Nurul Azwani.

azwani 4

Pemergian Nurul Azwani (bertudung hitam) amat dirasai oleh adik-adik dan anak saudaranya.

Tambah wanita berusia 55 tahun ini, sejak pemergian Nurul Azwani yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik, dia lebih gemar menyibukkan diri dengan menyiapkan tempahan kuih.

ARTIKEL BERKAITAN: Waris Nurul Azwani terima faedah Perkeso, Pencen Penakat seumur hidup... “Mungkin inilah yang ditinggalkan untuk membantu saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Batang Kali: Jenazah Nurul Azwani dikebumi malam ini

"Sebenarnya masa arwah ada, saya buat kuih tapi sikit-sikit. Sekarang ni sambung buat kuih balik dan hantar di kedai. Saya cuba untuk sibukkan diri supaya tak terlalu memikirkan arwah.

"Tambahan pula sekarang ni nak berpuasa... makin membuak-buaklah teringat. Sebab kami tinggal berdua, arwah la yang sibuk sediakan makanan berbuka.

Tak boleh terbayang oleh fikiran saya, melihat bagaimana tanah dari cerun tinggi menghempap anak saya dan lain-lain.

SITI ESAH HASSAN

IBU NURUL AZWANI

"Kalau ke bazar, memang selalu dia tanya saya nak makan apa. Memori berbuka puasa dengannya akan saya ingat sampai bila-bila," katanya lagi.

Mengakui dia mengambil masa yang lama untuk menerima berita kehilangan anak sulungnya itu, Siti Esah berkata dia akhirnya perlahan-lahan cuba bangkit kembali berbekalkan kata-kata semangat dua anak dan orang sekeliling.

"Jika awal-awal dulu, saya tak boleh tengok sangat berita atau gambar mengenai insiden itu. Tapi pada Disember lalu, saya kuatkan semangat untuk ke tempat kejadian.

"Bersama waris-waris mangsa yang terkorban, kami diberi kebenaran ke sana sempena setahun tragedi. Tak boleh terbayang oleh fikiran saya, melihat bagaimana tanah dari cerun tinggi menghempap anak saya dan lain-lain," ceritanya dalam nada sebak.

Meskipun sakit menahan kerinduan, Siti Esah berkata dia reda menerima takdir pemergian Nurul Azwani biarpun tidak menyangka anak sulungnya itu dijemput ajal secara mengejut.

Some of the vehicles which have been hit by mud and debris at Sector C at the Batang Kali landslide area in Selangor.

Tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya yang musnah dalam tragedi tanah runtuh, 16 Disember 2022. -Gambar The Star

"Kadang-kadang teringat perbualan kami. Saya pernah tanya bila nak kahwin, tapi dia jawab dengan pertanyaan... 'kalau mak sakit siapa nak jaga?'.

"Dia memang sentiasa melebihkan saya dan adik-adiknya dahulu. Sedih apabila dengar dia jawab macam tu. Tapi tak sangka, dia pula yang tinggalkan saya dulu.

"Saya reda... orang yang baik, memang Allah sayang," akhiri Siti Esah sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang prihatin menyalurkan bantuan kepada dia dan keluarga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain