KECOH di media sosial sejak Jumaat lalu berhubung seorang guru wanita melakukan pengantunan seksual (sexual grooming) terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun. Dalam perkembangan terbaharu, polis pada Ahad mengesahkan menerima laporan daripada keluarga remaja lelaki berkenaan. Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, laporan polis dibuat Disember tahun lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. "Kesemua pihak yang terbabit sudah dipanggil merakam percakapan termasuk remaja dan guru berkenaan. "Kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya kepada media. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Seksual Terhadap kanak Kanak 2017. ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz lamar murid usia 14 tahun dituduh pedofilia, si isteri mengaku nakal tetap pertahan suami... pakar kata ada 6 tahap sexual grooming "Siasatan masih berjalan yang mana kertas siasatan dihantar ke Bukit Aman sebelum diarahkan meneruskan siasatan," katanya. Terdahulu, pendedahan yang dibuat oleh individu yang dipercayai kakak mangsa mengenai perlakuan tidak bermoral seorang guru wanita, menjadi tular di laman X sebelum 'merebak' ke platform media sosial lain. Di dalam pendedahannya, individu tersebut berkata guru wanita yang merupakan ibu lima anak tanpa segan silu meluahkan perasaan cinta kepada adik lelakinya. Dia turut memuat naik video memaparkan kedua-duanya sedang berdua-duaan di pantai, selain tangkap layar perbualan mesra di aplikasi WhatsApp. Malah dakwanya, pihak keluarganya sudah membuat laporan polis dan aduan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah namun kedua-duanya didapati masih berhubung. Ujarnya lagi, dia mengambil langkah menularkan perkara berkenaan di laman sosial agar tindakan tegas dapat diambil oleh pihak yang berkaitan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube