TULAR rakaman video dua warga asing cuba menculik dan membawa lari kanak-kanak di sebuah pasar raya di Klang Sentral, Selangor. Menerusi klip perkongsian akaun X @Malaysiaviralll tersebut, kedua-dua mereka dilihat berjaya ditahan polis dan digari sebelum dibawa ke balai untuk siasatan lanjut. Turut kelihatan dua kanak-kanak terbabit bersama penjaga masing-masing yang berada di kawasan berhampiran. "Cubaan warga asing menculik budak di Klang Sentral. Kalau dia culik budak, dia buat apa? Jual organ ke, jadikan sindiket mengemis," ajunya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan kebimbangan tentang insiden yang berlaku. Tambahan pula lokasi berkenaan dipercayai mempunyai bilangan warga asing yang terlampau ramai. "Klang dah kena start basmi in an extreme manner dengan penguatkuasaan undang-undang. Betul dah jadi a ghetto state ni. "Warga asing dekat negara kita ni dah terlampau ramai. Kadang-kadang kita nak jalan dengan keluarga semasa hari minggu pun rasa tak selamat. "Ingatkan warga asing suka curi minyak paket je, rupanya benda lain pun buat," ujar beberapa warga maya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan kejadian yang berlaku. Menerusi satu kenyataan, beliau berkata kejadian tersebut berlaku pada pukul 7.30 petang, Isnin. "Kes cubaan melarikan kanak-kanak perempuan oleh dua lelaki warga asing semasa pengadu sedang menaiki eskalator di NSK Klang Sentral bersama adik perempuannya. "Semasa kejadian, dia sedang memimpin tangan anak pengadu yang berusia setahun tujuh bulan. Tiba-tiba datang dua lelaki warga asing yang tidak dikenali dari arah belakang. "Salah seorang telah mengangkat anak pengadu dari arah belakang, pengadu terus menjerit dan menarik semula anaknya," katanya. Menurut Vijaya Rao, tindakan pengadu tersebut membuatkan dua warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam. "Perintah tahanan reman telah diperoleh selama tiga hari dari Mahkamah Klang bagi membantu siasatan. "Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan denda," tambahnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube