POLIS kini mempertingkatkan tahap keselamatan di negara ini susulan penahanan seorang lelaki warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Suspek ditahan bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata penahanan lelaki berusia 36 tahun itu disyaki ejen perisikan Israel, sekali gus meletakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan berjaga-jaga. "Apabila tangkapan ini berlaku, apa yang kita nampak adalah isu berkaitan Palestin dan Israel. "Maka kita kini sangat berwaspada tentang keselamatan Perdana Menteri sendiri, Yang di-Pertuan Agong dan juga beberapa VVIP yang kita perlu ambil kira keselamatan mereka, keselamatan di sini," katanya pada sidang media, Jumaat. Penahanan suspek dibuat oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur dibantu pihak JSJ Bukit Aman, pada Rabu lalu. "Berdasarkan semakan kita, lelaki itu dikesan masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis. Hasil siasatan lanjut, suspek kemudian menyerahkan pasport Israel. "Suspek mendakwa dia masuk ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga," katanya. Bagaimanapun katanya, polis tidak mempercayai dakwaannya dan tidak menolak kemungkinan lelaki itu mempunyai agenda lain datang ke negara ini. Mengulas lanjut, Razarudin berkata, enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube