GEMPAR video tular di laman Facebook memaparkan seorang individu didakwa mempromosikan judi dan pinjaman ah long kepada peniaga bazar Ramadan di sekitar Ipoh, Perak. Menerusi video yang dimuat naik menerusi akaun Oppa Zuzu Kitchen pada Jumaat, kegiatan individu terbabit berjaya dihidu seorang lelaki dan tindakan pantas diambil dengan menegurnya, malangnya tidak diendahkan. "Mula-mula masa dia edar iklan judi saya dah tegur supaya hentikan tapi dia masih berdegil. Dia promosikan judi kepada gerai-gerai orang Melayu kita. "Jadi saya buat video ni supaya pihak berwajib boleh ambil tindakan. Saya harap tiada sesiapa yang akan terjebak dengan benda begini. Merana hidup kalau berani cuba," tulis Oppa Zuzu Kitchen dalam videonya. ARTIKEL BERKAITAN: Mentua penunggang agama guna nama anak tubuh pusat tahfiz, senyap-senyap songlap duit... Siap pinjam ah long! Melalui video sama, kedengaran lelaki yang fasih berbahasa Mandarin itu berani berdepan dan menegur individu yang aktif mempromosikan judi di tapak bazar berkenaan. Dalam pada itu Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menerusi satu kenyataan pada pagi Ahad berkata, pihaknya sedang giat mengesan tiga lelaki yang menjalankan aktiviti mempromosi pinjaman ceti haram serta judi. Mereka dikatakan beroperasi secara dalam talian dan kumpulan itu turut mengedarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi di kawasan Bazar Ramadan Stadium Perak sejak tiga hari lalu. Tambah Mohd Yusri, pemeriksaan dan risikan dibuat berpandukan video tular berdurasi 1.01 minit yang dirakam seorang peniaga bazar di situ. "Salah seorang peniaga bazar Ramadan membuat rakaman kegiatan lelaki terbabit. Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi online di setiap gerai di bazar itu. "Temu bual dengan pemilik akaun yang menularkan rakaman itu sudah dibuat. Butiran kejadian juga diperoleh dan usaha mengesan suspek yang disyaki sedang dijalankan," ujar Mohd Yusri. Mohd Yusri bagaimanapun berkata, setakat ini, tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu, namun tindakan masih diteruskan termasuk bagi mengesan suspek terbabit. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube