suria

Mustahil kembalikan orang yang tiada! PSA ‘Kalaulah...’ berdasarkan kisah benar tingkat kesedaran keselamatan jalan raya

Dua wanita ini kehilangan insan tersayang akibat kecuaian orang lain.

DUKA kehilangan insan tersayang akibat kemalangan jalan raya pasti meninggalkan bekas yang mendalam pada sanubari.

Lebih terkesan apabila kemalangan itu berpunca daripada kecuaian orang lain.

Menyedari tentang situasi itu, mStar tampil dengan sebuah iklan raya berbentuk pesanan khidmat masyarakat (PSA) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang amalan selamat di jalan raya.

Menampilkan cerita sebenar yang dilalui dua wanita tabah, naskhah berjudul Kalaulah... menyingkap tentang keperitan yang mereka lalui selepas suami dan anak tersayang terkorban dalam kemalangan.

Dalam konteks ini, Kalaulah... merupakan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan namun diharapkan agar ia dapat menjentik hati dan perasaan setiap pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati.

Bagi Norazlin Mohd Nohin, 33, dia kehilangan suami tercinta pada Mac tahun lalu gara-gara seorang pemandu wanita warga emas membelok ketika lampu isyarat masih berwarna merah.

Dek kerana kecuaian itu, suaminya Allahyarham Sam Nor Jantan yang menunggang motosikal untuk ke tempat kerja bertembung dengan kereta terbabit di sebuah persimpangan lampu isyarat di Banting, Selangor.

Arwah meninggal dunia di tempat kejadian.

mstar_iklanraya_kalaulah_240329_V2_FINAL.00_05_31_24.Still007

Norazlin reda dengan ujian yang menimpanya.

Ujar Norazlin, ‘kalaulah’ suaminya tidak terlibat dalam kecelakaan itu, hidupnya kini pasti lebih mudah dan teratur terutamanya dalam membesarkan anak lelaki mereka yang berusia enam tahun.

Sementara itu bagi Rozitah Nasir, 57, kematian anak lelakinya iaitu Muhammad Razin Adam pada tahun 2017 masih meninggalkan kesan emosi.

Perasaan rindu yang tak berpenghujung terus membelenggu hidupnya kerana dia tidak berkesempatan untuk berada di sisi arwah ketika akhir hayatnya.

Paling kecewa apabila dia mengetahui arwah tidak sempat menjamah hidangan terakhir yang dimasak pada hari kejadian.

mstar_iklanraya_kalaulah_240329_FINAL.00_03_43_17.Still004

Perasaan rindu terhadap arwah anak masih menebal dalam diri Rozitah.

Menurut cerita Rozitah, dia begitu ralat kerana anaknya yang menunggang motosikal dilanggar seorang pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol.

Kata wanita itu, kemalangan maut berkenaan pasti boleh dielakkan ‘kalaulah’ pemandu warga Singapura terbabit tidak mabuk.

PSA Kalaulah... hasil cetusan idea Tuan Hafis Tuan Ludin yang turut bertindak sebagai pengarah ini sewajarnya dijadikan iktibar buat semua pengguna jalan raya.

Lebih-lebih lagi ketika warga kota mula bergerak pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April ini.

Ingatlah, amalan keselamatan wajar dititikberatkan ketika berada di jalan raya kerana dua individu ini dan ramai lagi pernah kehilangan insan tersayang akibat kecuaian orang lain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan