suria

Tragedi Aidilfitri... Ibu bersama bayi 3 bulan maut selepas kereta bertembung lori tangki, tersepit di tempat duduk depan

Dua mangsa terkorban selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori tangki.

KEMERIAHAN Aidilfitri bertukar duka buat sebuah keluarga apabila seorang wanita dan bayinya maut dalam kemalangan pada Jumaat.

Mangsa, Najwa Nursyahira Kamaruzaman, 28, dan anak bongsunya, Felkah Nurnadeera yang baru berusia tiga bulan maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki.

Kemalangan itu berlaku di Jalan Tanjung Balau-Bandar Penawar berhampiran Taman Sri Penawar, Kota Tinggi, Johor.

Suami mangsa yang juga pemandu kenderaan, Muhammad Fahmy Ali, 30, selamat dan dirawat di Klinik Kesihatan Bandar Penawar.

Dua lagi anaknya, Muhammad Fakhrul Naufal, 8, dan Muhammad Fakhrul Naqil, 5 hanya mengalami kecederaan.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya meneirma panggilan kecemasan pada pukul 1.38 pagi.

Bomba yang bergegas ke tempat kejadian mendapati wanita yang duduk di kerusi penumpang hadapan dan bayinya itu tersepit di dalam sebuah Perodua Myvi.

Kedua-dua mereka dikeluarkan dengan peralatan khas.

"Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain