suria

Tembakan di KLIA 1: Suspek disyaki peroleh pistol dari negara jiran, polis perketat kawalan di sempadan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan gambar suspek.

SUSPEK insiden tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1), pada awal pagi Ahad, dipercayai mengggunakan pistol semi automatik kaliber 9mm.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

"Kita percaya senjata itu diperoleh secara haram dari negara jiran.

"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, kita menemui dua kelongsong peluru dan satu daripadanya belum meletup," katanya.

Razarudin berkata kawalan keselamatan di sempadan turut dipertingkatkan.

"Anggota kita di sempadan berada dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya dia cuba melarikan diri," tambahnya.

Sebelum ini mStar melaporkan seorang pengawal peribadi mengalami cedera parah akibat terkena tembakan, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Ahad di KLIA 1.

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua lari selamatkan diri!” – Kecoh insiden tembakan di KLIA 1, lelaki cuba bunuh isteri

ARTIKEL BERKAITAN: “Mohon doa semua” - Isteri suspek sedih, pengawal peribadi kritikal... Siasatan awal motif kejadian bersifat peribadi

Suspek dipercayai menyasarkan isterinya yang sedang menunggu ketibaan rombongan jemaah umrah di balai ketibaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media pada Ahad memaklumkan polis kini sedang memburu suspek yang dikenali sebagai Hafizul Harawi, 38, yang melarikan diri sejurus kejadian.

Suspek dipercayai melarikan diri ke arah utara.

Dalam pada itu, orang ramai diminta untuk menghubungi polis sekiranya terlihat suspek dan tidak bertindak sendirian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain