KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dengan kadar segera, sebagai langkah proaktif untuk melindungi hak-hak pekerja terutama melibatkan kemalangan jalan raya di luar waktu bekerja. Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, perlindungan yang holistik di luar waktu bekerja perlu diperkenalkan seiring dengan hasrat kerajaan yang komited memperkasakan kesejahteraan rakyat meliputi pelbagai golongan. "Kita perlu berganding bahu agar diwujudkan satu lagi skim keselamatan sosial khusus dengan skop perlindungan yang lebih luas luar waktu bekerja. "Ia berupaya memberi perlindungan menerusi bayaran pampasan untuk rawatan perubatan, gantian pendapatan dan sokongan kewangan kepada mereka yang terjejas," ujarnya. Mohd Effendy berkata, sekiranya kerajaan merealisasikan skim berkenaan, ia tidak hanya meningkatkan taraf kesejahteraan pekerja, bahkan memanifestasikan usaha memastikan keselamatan dan kebajikan rakyatnya. ARTIKEL BERKAITAN: Kenakan Penalti Lebih Tinggi Kepada Majikan Abai Keselamatan Pekerja - MTUC Tambahnya lagi, skim ini perlu dititikberatkan memandangkan banyak bencana berlaku ke atas pekerja dalam kes tuntutan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) ditolak berikutan ia tidak diiktiraf sebagai bencana kerja. Pewujudan SKBBK juga katanya adalah seiring dengan hasrat Malaysia dalam menjadi negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Sweden dan Norway menjelang tempoh lima hingga lapan tahun dari sekarang. "Ia jelas menunjukkan kesediaan Malaysia untuk mengadaptasi praktik terbaik dalam menyediakan perlindungan pekerja komprehensif yang tidak hanya memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan dengan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh masyarakat. "Pada masa sama, perlindungan bagi SKBBK ini adalah seiring dengan Konsep 3K Kementerian Sumber Manusia iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja yang dicetuskan oleh Menterinya, Steven Sim Chee Keong," jelas beliau lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube