suria

Suspek tembak isteri buat pemeriksaan kesihatan untuk bekerja di Arab Saudi

Hafizul membuat pemeriksaan kesihatan untuk bekerja di Arab Saudi.

SUSPEK insiden tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sedang membuat persiapan untuk bekerja di Arab Saudi, kata polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek, Hafizul Harawi, 38, pergi untuk pemeriksaan kesihatan seminggu sebelum kejadian tembakan di KLIA.

“Dipercayai dia pergi ke Kelantan selepas kejadian menembak untuk mengambil laporan perubatannya (seperti yang diperlukan untuk tugas baharunya),” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Negara pada Sabtu.

Tambahnya, polis akan memohon lanjutan tahanan remannya yang tamat pada 22 April ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cuba tembak isteri di KLIA direman 7 hari

“Kita akan lanjutkan tujuh hari lagi dan dia dijangka akan didakwa dalam tempoh itu.

“Setakat ini, kami telah merekodkan kenyataan seramai 27 orang,” katanya.

Terdahulu, Hussein hadir bagi memberi penghormatan kepada bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tun Mohammed Haniff Omar yang meninggal dunia pada awal pagi Sabtu.

Untuk rekod, Hafizul melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa atau Farah Cie di balai ketibaan KLIA pada Ahad lalu.

Dia kemudiannya ditahan di hadapan Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu, Kelantan, pada Isnin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain