suria

“Kami tak tahu tugasnya macam mana” - Ahli keluarga akan sentiasa rindu senyuman Wan Rezaudeen

Rata-rata ahli keluarga sukar percaya Wan Rezaudeen terbabit dalam nahas helikopter pada Selasa.

"PAKCIK dapat berita ni melalui TikTok, tapi tak sangka arwah yang terlibat."

Demikian kata Idzharuddin Mohd Long, 66, bapa saudara kepada Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak pada pagi Selasa.

"Biasalah tengok TikTok. Bila buka, asyik nampak berita nahas. Dalam pukul 11 pagi, saya tengok senarai (tak rasmi) yang arwah terlibat. Bercucuran air mata, terlalu sedih.

"Kami pun mesej dalam group WhatsApp keluarga. Tapi awalnya tak sangka dia meninggal sehinggalah pihak kementerian keluarkan senarai (identiti) mangsa," ujarnya kepada mStar.

bapa saudara

Bapa saudara terima khabar duka menerusi TikTok.

Bercerita mengenai Allahyarham Wan Rezaudeen, warga emas itu berkata anak suadaranya merupakan seorang yang pendiam, namun murah dengan senyuman.

"Arwah memang manja dengan pakcik-pakcik dia. Dia pendiam tapi banyak senyum. Dia tak banyak bercakap.

"Pada pandangan pakcik, dia satu-satunya mutiara yang sangat berharga, kerajaan Malaysia kehilangan sebutir permata dalam angkatan tentera kita," ujarnya yang kali terakhir berjumpa arwah kira-kira dua tahun lalu.

Selain itu, ibu saudara mangsa, Nor Khairi Mohd Long, gagal menahan sebak ketika bercerita tentang kenangan menjaga Wan Rezaudeen sewaktu masih kanak-kanak.

ibu saudara

Ibu saudara yang pernah menjaga arwah sejak kecil.

"Saya mak saudara, saya yang jaga dia masa kecil. Dia membesar dengan kami. Masuk tadika baru mak dia ambil.

"Dah dekat setahun kami tak jumpa, tapi berhubung melalui telefon terutama dengan mak dia. Mak dia beritahu arwah tak balik (raya) tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu anak berulang kali panggil ‘daddy’ di kubur, sempat cium keranda sebelum Wan Rezaudeen dikebumi

"Kami tahu helikopter jatuh, ingatnya arwah tak ikut serta. Kami pun tak tahu tugasnya macam mana. Allah sayangkan dia," ujarnya sebak.

Dalam pada itu, Siti Arbaiyah Bahrudin, 43, turut mengakui sepupunya itu seorang yang murah dengan senyuman meskipun memiliki personaliti yang pendiam.

"Mak saya dengan mak dia adik beradik. Cucu wan (nenek) ada dekat 50 orang. Kami dulu mandi laut ramai-ramai. Bila kenduri atau raya, semua berkumpul. Memang rapatlah.

sepupu

Sepupu dedah arwah seorang yang pendiam tapi murah senyuman.

"Tapi arwah ni seorang yang pendiam. Kami usik, sepupu-sepupu kacau, dia pendiam dan senyum je. Dia murah dengan senyuman," ujarnya yang tidak berjumpa dengan arwah sejak dua tahun lalu.

Mengimbas detik ketika mengetahui berita duka itu, Siti Arbaiyah berkata dia pada awalnya tidak menyangka sepupunya itu turut berada dalam helikopter berkenaan.

"Saya ni tak sihat pada Selasa. Entah macam mana, dah baca group cucu-cucu. Ingatkan bukan. Kami panggil dia Kamal sejak kecil. Tapi orang lain panggil Leftenan Wan.

"Tiba-tiba terbaca nama ayah dia, terus terkejut. Lepas sahih, melalak kami ramai-ramai sepupu," ceritanya lagi.

Ketiga-tiga individu ini ditemui ketika majlis pengebumian jenazah Wan Rezaudeen di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak pada Rabu malam.

Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 9.50 malam.

Allahyarham terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM yang bertembung ketika sedang membuat latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, kira-kira pukul 9.32 pagi Selasa.

Daripada kesemua 10 mangsa yang terkorban, tiga daripadanya berada dalam helikopter jenis Fennec M502-6, manakala tujuh lagi berada di dalam helikopter HOM M503-3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain