REMAJA lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan membakar seekor anak kucing hidup-hidup di Mahkamah Majistret, Jumaat. Pertuduhan terhadap pelaku yang menyebabkan kesakitan terhadap haiwan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz. Memandangkan tertuduh merupakan pesalah juvana, mahkamah menetapkan 27 Jun ini bagi meneliti laporan akhlak Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan. Bagaimanapun, terdapat dua lagi suspek masih bebas yang turut didakwa secara kejam membakar kucing tersebut bersama-sama remaja berkenaan. Tindakan kejam mereka didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta di sebuah blok, Pangsapuri Taman Sri Kenari di Kajang, Selangor pukul 1.08 tengahari pada 22 April lalu. Dalam video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, kelihatan seekor anak kucing berlari dalam keadaan sedang terbakar. "Berlari kucing tu, (suspek) siap gelak lagi," ujar seorang individu ketika merakamkan semula paparan CCTV tersebut. Pertuduhan pendakwaan dikemukakan mengikut perenggan 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak JKM. “Kes ini sangat serius kerana melibatkan kesalahan penganiayaan terhadap binatang selain ia melibatkan kes berkepentingan awam,” katanya. Selepas prosiding kepada pelaku dibaca, ibu tertuduh yang berusia 30 tahun merayu agar jumlah jaminan dikurangkan. Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin. Terdahulu,pada minggu lalu, dilaporkan tiga lelaki membakar seekor anak kucing hidup-hidup di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri di Sungai Ramal Baru, Selangor. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita warga emas tempatan berusia 63 tahun pada pukul 10.31 pagi. Selepas itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan telah menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Hulu Langat pada 24 April lepas. Menurut Mohd. Zaid pihak jabatan telah membuat pemeriksaan lanjut di Pusat Tahanan Haiwan DVS Selangor selain anak kucing itu kini berada dalam keadaan baik di bawah pemantauan Pegawai Veterinar DVS Selangor. Sementara DVS Selangor telah membuka kertas siasatan berhubung kes kucing dibakar di pangsapuri berkenaan. DVS dalam kenyataan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube