suria

Faisal Halim tunjuk perkembangan positif, sudah boleh makan

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melawat Faisal di hospital.

PEMAIN sayap Selangor FC, Faisal Halim dilaporkan menunjukkan perkembangan positif dalam pemulihannya selepas menjadi mangsa serangan simbahan asid pada Ahad.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata Faisal juga sudah boleh menelan makanan lembut ketika melawat pemain kebangsaan itu di hospital.

Faisal turut dilihat bersemangat untuk cuba membuat senaman ringan selepas menjalani pembedahan kedua pada Selasa.

Shahril memaklumkan sedemikian ketika menyertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk melawat Faisal.

ARTIKEL BERKAITAN: Keadaan Faisal Halim tidak begitu baik, dalam pemerhatian doktor

"Alhamdulillah. Pembedahan kedua berlangsung selama tiga jam. Hasilnya, saya diberitahu oleh pakar amat positif. Terima kasih doa semua rakyat Malaysia.

"Faisal juga sudah boleh makan dan dia turut cuba membuat senaman ringan.

"Ini petanda sangat baik, menunjukkan semangat Faisal yang cukup kuat," katanya selepas melawat Faisal di sebuah hospital swasta pada Rabu.

Sebelum ini, Faisal mengalami kelecuran tahap empat ekoran disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, Shahril berkata, Faisal akan menjalani beberapa pembedahan lagi untuk memulihkan kelecuran yang dialaminya itu.

"Masih ada lagi pembedahan ketiga dan keempat dalam masa terdekat. Ia akan dilakukan berperingkat.

Setakat ini dua suspek sudah ditahan untuk membantu siasatan berkaitan serangan itu. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain