suria

Takut ditangkap khalwat, lelaki pecut naik Myvi sampai terbabas... Tinggal GF baru kenal dalam sungai!

Kereta Perodua Myvi yang kemalangan di Paya Lebar. -Foto IPD Alor Gajah

GARA-GARA risau ditahan berkhalwat di dalam kereta, pasangan kekasih nekad memecut kenderaan sejauh kira-kira 14 kilometer untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa pada Khamis malam.

Kejadian berlaku di antara kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah hingga ke Paya Lebar, Alor Gajah, Melaka sekitar pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata seorang lelaki berusia 30 tahun bertindak memecut kereta Perodua Myvi yang dinaiki bersama pasangannya apabila berselisih dengan kereta peronda (MPV Polis).

Menurutnya, kereta peronda terbabit ketika kejadian sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan hutan simpan berkenaan.

"Setibanya di Paya Lebar, kereta itu terbabas ke dalam sungai dan pemandunya terus melarikan diri dengan berenang ke seberang.

"Manakala pasangan suspek yang merupakan seorang wanita berusia 26 tahun ditemui selamat di dalam kereta, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,

"Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu namun tidak menjumpai barang yang menyalahi undang-undang," kata Ashari dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wanita itu kemudiannya dihantar ke Telok Gong, Melaka oleh anggota peronda yang mana difahamkan rumah saudaranya berada di situ.

"Siasatan mendapati suspek disyaki melarikan diri kerana bimbang ditahan pihak polis, susulan disyaki berdua-duaan di dalam kereta dengan teman wanita yang baru dikenali.

"Kereta suspek terbabas sendiri dan tidak membabitkan kemalangan dengan kenderaan lain. Selain itu tiada tangkapan dan rampasan dibuat.

"Semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain