POLIS sudah menahan pemandu mabuk yang melanggar atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di sini pada Sabtu. Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pemandu terbabit ditahan selepas kemalangan bagi membantu siasatan dan disahkan berada di bawah pengaruh alkohol. "Kemalangan tersebut berlaku semasa mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi dilanggar kereta Toyota Vios dipandu suspek dari arah belakang pada jam 4.30 petang Sabtu. "Kereta suspek dari arah belakang itu mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa. "Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 iaitu memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan. "Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000," katanya dalam satu kenyataan. ARTIKEL BERKAITAN: Atlet kayak cedera serius dilanggar pemandu mabuk, diseret 600 meter... Pelaku buat ‘peace’ selepas insiden Jelasnya, pemandu terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi memiliki 7 rekod saman trafik yang gagal dijelaskan. Ujian saringan air kencing juga mendapati pemandu terbabit bebas pengaruh dadah. Tambah Raub, suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan dan telah dibebaskan dengan ikat jamin. Siti Nurul Masyitah, pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri akibat kecederaan pada bahagian bahu kanan, tulang pinggul dan luka pada bahagian kaki. Difahamkan, pelajar itu sering berulangalik dari rumahnya ke politeknik bagi menjaga ibu bapanya yang sakit. Terdahulu, video kemalangan yang menyaksikan Siti Nurul Masyitah diseret sejauh 600 meter turut viral di media sosial. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube