LELAKI yang tular kerana mempunyai bayi sakit dan bersekedudukan bersama pasangan muncul di masjid untuk mengambil borang nikah pada Ahad. Perkara itu didedahkan oleh pemilik akaun TikTok @ametla93 atau Muhammad Hazamer Mualim yang merupakan imam Masjid Al-Makrufi di Alor Setar, Kedah. "Alhamdulillah, Mohd Azlan dan bakal bapa mentuanya hadir untuk meminta bantuan mengisi borang permohonan nikah. Semoga urusan mereka dipermudahkan," kata Hazamer pada ruangan kaspyen. Urusan nikah yang dihadiri Azlan dan bakal bapa mentua di pejabat Masjid Al-Makrufi. Dalam pada itu, Mohd Azlan Ishak, 36, ketika dihubungi mStar mengesahkan perkara itu dan berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan pihak masjid bagi melancarkan urusan menghalalkan pasangannya. "Ya betul, tadi saya pergi ke masjid untuk selesaikan kertas kerja berkaitan borang nikah. Esok (Isnin) akan pergi ke klinik untuk buat ujian HIV dan ujian darah. "InsyaAllah kalau semua dipermudahkan, lusa (Selasa) saya akan akad nikah dengan pasangan. Ribuan terima kasih kepada Hazamer sebab sudi menolong. ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan bawa bayi naik motor mengaku bukan suami isteri, rancang kahwin minggu depan ARTIKEL BERKAITAN: Usahawan terkejut pasangan yang dibantu belum kahwin, tapi tak kan ambil balik kereta! Anggap semuanya ‘kisah silam’, sokong cepat nikah "Dia beritahu saya apa yang penting sekarang ni adalah untuk percepatkan segalanya, tidak kisah apa pun yang berlaku sebelumnya. Tiada manusia yang dapat lari daripada kesilapan," kata Azlan bersyukur. Dalam pada itu Azlan juga menafikan dakwaan bahawa dia dan pasangan menghilangkan diri. Katanya, ketika urusan di masjid, bayinya ditinggalkan di rumah bersama pasangan sambil ditemani bakal ibu mentuanya. "Anak saya kurang sihat. Jadi saya cuma bawa kad pengenalan pasangan. Saya dah beritahu tok imam, dia kata tak mengapa," ujarnya yang kemudian hadir ke masjid bersama wali iaitu bakal bapa mentua. Tambah Azlan, pasangannya iaitu Nor Hidayu Halim, 34, sudah bercerai dengan bekas suaminya pada Ogos 2023 dan selesai menamatkan tempoh idah. Kisah Azlan dan pasangannya menjadi tular di media sosial. "Pasangan saya bercerai pada Ogos tahun lalu, sudah pergi ke pejabat agama untuk failkan penceraian. Tetapi proses tergantung kerana faktor kewangan yang sangat mendesak. "Perlukan dalam RM60 untuk lengkapkan borang cerai, masukkan dalam sistem dan juga dapatkan salinan. Jumlah RM60 tu agak besar untuk kami yang pada masa itu hidup sekadar mencari makan dan minum. "Hari tu apabila ramai yang salurkan bantuan kepada anak, baru la kami berkemampuan untuk pergi ke pejabat agama bagi menyelesaikan urusan penceraian. "Bukannya saya sengaja berdua-duaan dengan pasangan tanpa ikatan yang sah, tapi keadaan memaksa. Mungkin kalau orang di luar sana turut berada dalam situasi saya, mereka akan memilih jalan yang sama," jelas Azlan. Untuk rekod, kisah Mohd Azlan pada mulanya mendapat perhatian ramai kerana mempunyai bayi lelaki dengan masalah paru-paru kronik sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan alat pernafasan. Lebih meruntun jiwa apabila tiga beranak itu dilihat menaiki motosikal berulang-alik ke hospital menaiki motosikal bagi mengambil ubat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube