SEORANG lelaki warga emas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas cucu saudara perempuan berusia 10 tahun.
Tertuduh yang berumur 64 tahun membuat pengakuan itu di depan Hakim Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan dengan cara memeluk dan meraba mangsa di bahagian dada hingga kemaluan bagi tujuan seksual.
Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah kedai makan di Lenggeng, Nilai sekitar pukul 1.30 petang pada 21 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sekiranya sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin disertai syarat-syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia merupakan seorang duda dan tidak pernah melakukan kesalahan seumpama itu.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. - The Star
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube