suria

“Apa dosa anak aku”- Bapa bayi dibeku selama 2 minggu ‘bersuara’, dakwa difitnah

Safwan meluahkan rasa terkilan atas kejadian menimpa bayi sulungnya.

"APA salah aku... apa dosa anak aku. Aku tahu anak aku tidak sempurna, tapi kenapa kau buat aku sampai macam ni?”

Itulah luahan pilu Safwan Roshdy, 22, yang mana mayat anaknya disimpan dalam peti sejuk beku oleh Hospital Bersalin Razif (HBR) di Klang selama dua minggu selepas dilahirkan.

Safwan mendakwa sudah memberikan penjelasan kepada pihak hospital, namun mereka tetap berkeras menahan isteri dan mayat bayinya atas alasan bil perubatan belum dibayar.

Perkara itu dijelaskan menerusi satu sesi temu bual yang diadakan di kediaman Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Safwan di Kota Damansara, Selangor pada Khamis malam.

“Pada pendapat saya... jika isteri saya ditahan di hospital pun, cukuplah lepaskan anak saya untuk dikebumikan. Tapi tidak, mereka tetap tahan isteri dan anak saya,” katanya sayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tak mampu bayar bil hospital... Jenazah bayi lahir tak cukup sifat ‘beku’ 2 minggu, terpaksa dilembutkan guna air panas sebelum kebumi

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Bersalin Razif dedah kisah sebenar bayi ‘beku’, dakwa ibu lahirkan anak luar nikah... Diizin urus jenazah sebelum bayar bil

Apa yang lebih menyedihkan, pihak hospital didakwa membuat kenyataan fitnah dan menurut Safwan ia akhirnya akan menjejaskan reputasi mereka sendiri.

Dalam pada itu, Safwan yang merupakan pekerja kilang turut membandingkan kes serupa di tempat lain yang memberi peluang kepada bayi seperti anaknya membesar dengan baik.

“Saya sedih sebab dia seorang Muslim, tapi kenyataannya menjatuhkan dirinya semula. Itu saja yang saya mampu katakan.

“Dekat negara lain pun ada kes macam saya, tapi bayi mereka Alhamdulillah membesar dengan baik.

"Jadi kenapa anak saya diperlakukan sebegini? Saya sangat... 'orang putih' cakap suspicious (curiga),” ujarnya lagi.

Bayi itu dibekukan selama dua minggu sebelum dikebumikan.

Bayi dibekukan selama dua minggu sebelum dikebumikan.

Dalam pada itu, pihak hospital dalam satu kenyataan pada Rabu mendakwa punca kematian adalah kerana nadi bayi sudah lemah dan berada dalam keadaan kritikal.

Namun, Safwan hanya mendapat penjelasan yang begitu ringkas mengenai kematian anaknya.

Peguam mewakili Safwan, Ahmad Zaharil pula menyatakan pihaknya mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang menyebarkan fitnah terhadap anak guamnya, termasuk dakwaan bahawa Safwan tidak berkahwin.

Ahmad Zaharil melakukan semakan status perkahwinan anak guamnya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips), yang mengesahkan kesahihan sijil tersebut.

Menyentuh kenyataan yang dikeluarkan pihak hospital berhubung kes itu, Safwan ditemani Ahmad Zaharil sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara, Selangor pada Jumaat pagi.

Safwan membuat laporan polis pada Jumaat.

Pada Rabu, HBR menerusi kenyataan di Facebook menjelaskan bahawa jenazah bayi tersebut disimpan kerana ibu bapanya tidak mampu membayar kos kelahiran di hospital berkenaan.

Menurut HBR, pesakit itu dibawa oleh suaminya yang dikatakan membuat pengakuan bahawa mereka bukan pasangan suami isteri.

Meskipun begitu, pihak hospital menerima pesakit tersebut atas dasar kemanusiaan, walaupun tiada sebarang tempahan dibuat untuk tujuan kelahiran.

Ibu bayi itu turut memaklumkan bahawa kandungan tersebut adalah kandungan sulungnya.

HBR juga menjelaskan bahawa permit pengebumian telah dikeluarkan sehari selepas bayi dilahirkan untuk membolehkan proses pengebumian dijalankan.

Kisah menyayat hati ini dikongsikan Wan Cai di Facebook.

Selain itu, wanita berkenaan juga dibenarkan pulang sehari selepas bersalin, namun dia memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil perubatan.

mStar pada Selasa melaporkan bahawa jenazah seorang bayi lelaki terpaksa disimpan di dalam peti sejuk beku selama dua minggu kerana ibu bapanya tidak mampu menjelaskan kos kelahiran di sebuah hospital swasta.

Kisah ini mula tular selepas ia didedahkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai, di media sosial.

Menurut Wan Cai, bayi tersebut meninggal dunia 30 minit selepas dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna, iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis, keadaan yang dikenali sebagai Cyclopia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain