SEORANG guru lelaki berusia 44 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua murid darjah enam dalam 'rumah hantu' di sebuah sekolah di Melaka.
Rayuan tertuduh, Mohd Azhar Mohamad direkodkan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah pada Selasa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan meraba bahagian dada seorang murid berusia 12 tahun.
Tertuduh seterusnya didakwa melakukan kesalahan sama dengan seorang lagi murid sekolah juga berumur 12 tahun, yang mana difahamkan mangsa diraba di bahagian dada dan kemaluan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah di Paya Rumput, Melaka sekitar pukul 9.30 pagi pada 8 Januari.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof mewakili pihak pendakwaan manakala tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan jaminan RM21,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran hingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 17 Februari sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu pada 9 Januari, Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, dua mangsa keluar dalam keadaan menangis serta menggigil badan selepas diajak memasuki rumah hantu yang dibina sempena penganjuran satu karnival di sekolah.
Menurutnya, mangsa diajak masuk ke dalam rumah hantu itu oleh suspek sebagai proses raptai sebelum karnival bermula, namun malangnya mereka mendakwa diraba pada bahagian dada dan kemaluan.
Mangsa seterusnya pergi ke bilik guru besar untuk menceritakan insiden itu sekitar pukul 10 pagi pada 8 Januari.
Tertuduh turut didakwa postif dadah selepas menjalani ujian saringan pada hari sama dia ditahan. - The Star
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube