suria

Kes tipu umrah: Pasangan suami isteri ditahan semula di Johor bantu siasatan

Suspek sekali lagi ditahan bagi membantu siasatan.

POLIS menahan sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat umrah, disyaki terlibat dalam penipuan pakej pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pasangan berusia 32 tahun itu ditahan sejurus mereka dibebaskan dengan jaminan polis Selangor.

"Setakat ini, sebanyak sembilan laporan polis telah diterima melibatkan kerugian berjumlah RM174,080.

"Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta denda," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Selasa lalu, tular di media sosial kisah kira-kira 300 jemaah umrah terkandas selepas dijanjikan penerbangan ke tanah suci yang kemudiannya ditunda oleh syarikat pengendali umrah berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri direman 3 hari kes tipu umrah

Pengarah urusan syarikat terbabit, Mohd Syahril Alias didakwa gagal menunaikan janji untuk menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke tanah suci.

Susulan insiden itu, Syahril tampil pada Rabu membuat permohonan maaf secara terbuka dan menawarkan Surat Aku Janji bagi menyelesaikan bayaran ganti rugi kepada jemaah terlibat.

Namun, tangkapan terhadap pasangan tersebut dilakukan sekitar pukul 6.45 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), susulan laporan yang dibuat oleh jemaah yang terkandas.

Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya melakukan semakan dengan agensi berkaitan sebelum menggunakan khidmat mana-mana syarikat pengendali umrah.

Ini bertujuan untuk memastikan mereka berlesen dan mempunyai rekod pengendalian yang baik.

Artikel Lain