suria

Penebar roti canai rogol pelajar OKU atas sofa dapur

Merogol adalah satu kesalah jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG penebar roti canai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar di Johor pada Rabu atas dua pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya.

Mangsa adalah pelajar perempuan orang kelainan upaya (OKU).

Menerusi prosiding pada Rabu, Mohd Din Mohd Salleh, 60, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan sebelum Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan terhadapnya.

Namun, mahkamah memutuskan hukuman penjara berjalan serentak berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditangkap, 17 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol pelajar perempuan OKU berusia 13 tahun di dapur rumah sewa di Kluang, antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, 11 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan kejadian berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, masing-masing penjara hingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menghubungi mangsa dan mengajaknya untuk berjumpa di dapur rumah sewa.

Sebaik ke dapur, mangsa menunggunya di atas sofa dan tidak lama kemudian tertuduh tiba lalu melakukan perbuatan itu.

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa sedang tidur dan mereka terjaga apabila mendapati anaknya tiada.

Apabila keluar dari rumah, ibu mangsa mendapati anaknya dalam keadaan tidak terurus sebelum melihat kelibat tertuduh yang kemudiannya melarikan diri.

Ibu mangsa mengesyaki sesuatu berlaku terhadap anaknya lalu membawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan didapati ada kes rogol terhadap mangsa.

Susulan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada hari sama dan tertuduh ditahan enam hari kemudian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain hukuman itu semasa dalam tahanan dan pengawasan polis setahun selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.

Artikel Lain

Nas Ahmad meninggal dunia