TIADA pelukan, namun kepulangan seorang banduan disambut dengan sekujur jasad kaku bapa kesayangan.
Suasana bertambah hiba apabila banduan berkenaan melangkah masuk ke dalam rumah sambal mengesat air mata dan duduk bersimpuh di sisi jenazah, sebelum tunduk mengucup wajah arwah bapa.
Menerusi video berdurasi 1 minit 58 saat yang dikongsikan pemilik akaun Facebook Akim Juntai II, difahamkan banduan berkenaan diberi kebenaran pulang ke rumah bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bapanya.
Ketibaan banduan yang berbaju biru dengan diiringi pegawai penjara dan polis disambut penuh hiba oleh ahli keluarga, saudara mara dan kenalan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Penjara bukan tempat berehat” - Bekas banduan aktif buat ‘content’ realiti tirai besi, tak tenteram nampak anak muda hisap dadah sambil ‘live’
Menurut pemilik video, banduan berkenaan difahamkan bakal dibebaskan tidak lama lagi namun ditakdirkan tidak sempat bertemu arwah bapanya yang meninggal dunia pada 3 Februari lalu.
"Semoga kau kuat sahabat. Patutnya 14 Februari ini aku tunggu kau di rumah kau, Teh. Boleh tengok kau balik. Kita boleh jumpa semua ayah ibu, kumpul semua macam dulu dan tengok kau happy.
"Tapi kali ini aku tunggu kau untuk tengok sedihnya kau kehilangan seorang ayah tercinta. Allah sayang kau Teh sebab itu Dia menguji kau. Sentiasa kuat sahabat," tulisnya.
Khidmat terakhir sebagai seorang anak dengan mengiringi perjalanan arwah bapa.
Selain memberi ciuman, banduan tersebut juga mengiringi jenazah bapanya ke dalam van biarpun dalam keadaan kedua belah tangan bergari, untuk dibawa ke tanah perkuburan.
Ternyata perkongsian berkenaan mengundang sebak warga maya dan rata-ratanya mengucapkan takziah buat keluarga banduan berkenaan.
"Tak kenal.. tapi nak berterima kasih pada budi bicara warden dan pegawai untuk membenarkan dia berbakti kali terakhir pada ayah dia.
"Semoga tabah mnghadapi ujian, kuatkan semanggat dan doa banyak-banyak untuk arwah.
"Rezeki dia dapat cium buat kali terakhir, siap boleh usung jenazah ayah. Tak semua orang ada kesempatan begini. Apapun salahnya, ini semua Allah sudah izinkan," komen netizen.