TIGA premis bersama 40 buah motosikal dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran awal pagi di Sentul, Kuala Lumpur. Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rusdi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada kira-kira 5.15 pagi Rabu lalu. "20 anggota dari empat balai bomba diarahkan ke lokasi kejadian. "Kami mendapati sebuah bengkel, kedai vape dan sebuah restoran musnah dalam kebakaran. Selain itu, 40 buah motosikal dan sebuah kereta turut terbakar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. Beliau berkata, ketiga-tiga premis berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran. "Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dalam insiden tersebut. "Kami masih menyiasat punca kebakaran," katanya.