SEORANG warga emas dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya.
Pesara berusia 63 tahun itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Tertuduh turut mengaku bersalah bagi tuduhan keenam iaitu mengugut mangsa untuk melakukan aktiviti bersifat seksual.
Bagi pertuduhan pertama hingga pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Bagi pertuduhan keenam, tertuduh didakwa mengugut mangsa sama untuk melakukan aktiviti bersifat seksual.
Semua kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Seremban 2 pada pukul 8.30 pagi 3 Februari dan jam 6.30 pagi 4 Februari lalu.
Tertuduh didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) dan satu di bawah Seksyen 14(d) akta sama.
Untuk pertuduhan keenam, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15B(a) akta sama.
Sabit kesalahan bagi semua pertuduhan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh disebat.
Tertuduh yang beristeri dua memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara singkat kerana lumpuh kaki dan tangan kanan, selain masih menanggung dua anak.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, memohon hukuman penjara dan sebat terhadap tertuduh sebagai pengajaran walaupun mengaku bersalah dengan mengambil kira kepentingan awam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa tinggal berdua dengan suspek kerana ibu mangsa menemani suaminya yang dirawat di Hospital Serdang, Selangor.
Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 9 Februari.