suria

Badan merah-merah, kesan lebam teruk belakang badan! Anak autistik didakwa didera di taska, guru kata jatuh gelongsor

Kesan lebam di belakang badan Ayden dipercayai dipukul.

SEORANG kanak-kanak autistik dan non-verbal didakwa didera di sebuah taska di Shah Alam, Selangor pada 15 Januari lalu.

Menurut bapa mangsa, Nazmi Zulkifli, dia menyedari kanak-kanak itu dipukul selepas melihat kesan lebam pada belakang badan anak sulungnya, dikenali sebagai Ayden ketika memandikannya pada hari sama.

"Pada malam itu juga, saya dan isteri membawa dia ke klinik di Seksyen 7 dan doktor berpendapat ini kesan dipukul. 

"Keesokannya saya bawa Ayden berjumpa pakar di Hospital Shah Alam dan lima doktor mengatakan bahawa luka itu disebabkan dipukul dan bukannya terjatuh," katanya.

Menerusi catatan di Facebook, Nazmi memaklumkan sudah menghubungi pihak taska pada hari yang sama dan guru mendakwa anaknya itu mungkin terjatuh semasa bermain gelongsor.

Tambah Nazmi, dia membuat laporan polis pada hari yang sama selepas dicadangkan doktor.

"Selama sebulan ini, saya tidak menceritakan kepada semua kerana kes ini masih dalam siasatan polis.

"Dalam tempoh itu juga, tiada seorang cikgu dari taska yang mengaku dan semuanya mengatakan tidak tahu ada kesan lebam pada badan Ayden.

"Lebih malang tiada kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kelas kerana dikatakan rosak dan sedang diselenggara," katanya.

Nazmi berkata kenyataan anaknya bermain gelongsor juga tidak benar kerana dalam CCTV tiada kelibat Ayden bermain di permainan itu.

Lebih mengecewakan Nazmi mendakwa dia dimaklumkan bahawa pihak polis tidak akan mengambil tindakan berhubung kes berkenaan.

"Hari ini (Khamis), kami baru dapat berita daripada pihak polis bahawa kes ini dianggap sebagai No Further Action (NFA).

"Tiada dakwaan atau tindakan akan diambil ke atas pihak taska atas alasan tiada bukti CCTV dan bukti tidak mencukupi. 

"Sedangkan ada laporan perubatan dari pihak hospital yang mengatakan Ayden didera dan juga laporan dari pusat terapi Ayden yang mengatakan perubahan ketara selepas kejadian itu," katanya kecewa.

Sementara itu dalam perkembangan terkini selepas pendedahan ini tular di media sosial, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menerusi kenyataan ringkas memaklumkan akan membuat semakan terhadap kes berkenaan.

"Kita semak, terima kasih sahabat media sekalian," katanya.

Artikel Lain