SEORANG wanita warga Jepun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, pagi Jumaat.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima menerusi talian MERS 999, pada 8.07 pagi.
Pasukan peronda dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan.
"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa (si mati) adalah seorang perempuan warganegara Jepun, berumur 50-an sudah meninggal dunia, dalam keadaan tertiarap di atas tanah.
"Pemeriksaan awal pada tubuh badan si mati dan tempat kejadian mendapati tiada sebarang kecederaan daripada perlakuan jenayah," katanya dalam kenyataan berkenaan.
Ujarnya, kes disiasat di bawah laporan mati mengejut (SDR) dan bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian mangsa.