suria

Pelajar MRSM terbabit buli disyor tamat pengajian... Asyraf Wajdi tegaskan tiada peluang kedua, tak layan rayuan

Asyraf Wajdi menegaskan Jawatankuasa Displin Maktab mengesyorkan pelajar MRSM terbabit buli ditamatkan pengajian.

TUJUH pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air yang terlibat dalam kes buli disyorkan tamat pengajian, tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi berkata, keputusan mengenai kes buli yang tular itu dibuat menerusi Jawatankuasa Disiplin Maktab.

"Maaf, saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi Mara, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo.

"Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk MRSM," katanya menerusi akaun Facebook beliau, pada pagi Selasa.

Hantaran yang dibuat oleh Asyraf Wajdi di Facebook beliau, pagi Selasa.

Tegas beliau lagi, tindakan keras itu dikenakan secara adil tanpa mengira latar belakang keluarga pelajar yang terlibat dalam insiden buli.

ARTIKEL BERKAITAN: “You touch, you go!” - Asyraf Wajdi sahkan pelajar terlibat insiden buli digantung persekolahan

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja kena henyak ramai-ramai, punggung dikorek! Asyraf Wajdi tegaskan tak berkompromi kes buli di MRSM

"Tidak kira anak sesiapa sekali pun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekali pun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.

"Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini," katanya lagi.

Terdahulu tular video berdurasi 1.31 minit memaparkan seorang pelajar lelaki dibuli beberapa rakannya di mana kepala dan badannya dihenyak selain dilibas menggunakan tali pinggang.

Lebih mengejutkan, seorang individu yang memakai kopiah dilihat bertindak 'mengorek' bahagian punggung mangsa dari bahagian luar seluar.

Walaupun diperlakukan seteruk itu, mangsa bagaimanapun dilihat tidak melawan dan hanya membiarkan dirinya terus dibelasah.

Susulan insiden tersebut, polis membuka satu kertas siasatan dan mengesan lokasi institusi terlibat dan semua individu yang dilihat dalam video berkenaan untuk dirakam keterangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou, siasatan akan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek.

Jelas beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain