suria

Tun Abdullah masuk IJN sehari sebelum hembus nafas terakhir

Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia di IJN pada petang Isnin.

BEKAS Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dimasukkan ke Insitut Jantung Negara (IJN) pada Ahad sebelum menghembuskan nafas terakhir hari ini (Isnin).

IJN menerusi satu kenyataan pada Isnin berkata, Tun Abdullah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) kerana masalah kesukaran bernafas.

"Tun Abdullah dimasukkan ke IJN pagi semalam selepas mengalami kesukaran bernafas. 

"Beliau segera ditempatkan di CCU dan dipantau rapi oleh pasukan pakar jantung kami yang berdedikasi.

Tun Abdullah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 2 April 2009.

"Walaupun segala usaha perubatan dilakukan, beliau menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di sisi insan tersayang," menurut IJN.

Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Dr Ezani Md Taib berkata peluang menjaga Allahyarham di saat-saat akhir merupakan satu penghormatan buat pasukannya.

"Seluruh warga IJN bersedih atas pemergian Tun Abdullah. Menjaganya pada saat-saat akhir merupakan satu keistimewaan dan penghormatan buat kami.

"Keperibadiannya yang rendah diri dan penuh budi pekerti menyentuh hati ramai dalam kalangan staf kami," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia

Terdahulu, mStar melaporkan Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di IJN pada pukul 7.10 petang Isnin.

Perkara itu dimaklumkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin menerusi Instagram Story.

Tun Abdullah merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, berkhidmat dari 31 Oktober 2003 hingga 2 April 2009.

 

Artikel Lain