Sebuah motosikal yang ditemukan dalam longkang bersama rangka manusia di Kilometer 155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, dekat Bagan Datuk, pada Rabu. -Foto Polis
KEHILANGAN seorang lelaki sejak 29 Julai lalu terjawab susulan penemuan satu rangka manusia di dalam longkang di Kilometer 155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan dekat Bagan Datuk, Perak, pada Rabu.Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, penemuan tersebut disedari pekerja pembersihan yang sedang memotong rumput di lokasi berkenaan selepas terhidu bau busuk. Ujarnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan sebelum terjatuh ke dalam longkang di lokasi kejadian."Berdasarkan maklumat awal yang diterima, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan menuju ke Sabak Bernam sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan."Mangsa tidak menerima sebarang bantuan sehingga kejadian itu disedari oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.ARTIKEL BERKAITAN: Misteri bau busuk akhirnya terjawab, mayat wanita ditemukan dalam bagasiSelain motosikal, turut dijumpai bersama rangka manusia itu adalah beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa termasuk telefon bimbit, pasport warga Malaysia dan wang tunai.Hasil semakan lanjut mendapati satu laporan orang hilang dibuat oleh ahli keluarga mangsa di Balai Polis Teluk Intan pada Rabu."Berdasarkan siasatan awal, rangka manusia tersebut dipercayai milik seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai lalu,” katanya.Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-5364619.