JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menyangkal dakwaan kononnya ada warga Rohingya yang hadir ke pejabatnya untuk mendaftar kad pengenalan atau MyKad.Dalam satu kenyataan pada pagi Khamis, JPN menjelaskan kehadiran warga asing di JPN tidak bermakna mereka sedang memohon atau akan diberikan MyKad. "JPN ambil maklum hantaran tular di media sosial memaparkan kehadiran warga asing di premis JPN dan mengaitkannya dengan urusan membuat kad pengenalan."Untuk makluman, kehadiran seseorang di premis JPN tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad. "JPN menyediakan pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan," ujar JPN di Threads.JPN mohon orang ramai teliti fakta sebelum sebar sesuatu perkara. Dalam hantaran sama, JPN turut mengingatkan orang ramai agar menyemak fakta sebelum menularkan sesuatu isu yang boleh menimbulkan fitnah."Jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau berdasarkan sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan."Mari kita sama-sama memahami sesuatu isu berdasarkan fakta, konteks dan penjelasan yang tepat, bukan semata-mata berdasarkan persepsi daripada sekeping gambar atau video rakaman yang tidak jelas," tulis JPN lagi.Pada Rabu, sebuah akaun di platform X memuat naik dua video memaparkan individu warga asing yang didakwa sedang berada di pejabat JPN untuk mendaftarkan MyKad.Berdasarkan semakan mStar, hantaran itu masih boleh diakses dan belum dipadam oleh individu berkenaan.