Seorang wanita berkongsi rasa cemas apabila hanya menerima baju suaminya yang berlumuran darah selepas lelaki itu terbabit dalam nahas jalan raya.
PERASAAN sebak menyelubungi hati seorang wanita apabila menerima uniform yang dipakai suaminya sewaktu keluar bertugas dalam keadaan berlumuran darah kira-kira pukul 1 pagi Jumaat.Menurut wanita yang menggunakan akaun ayumeyz di Threads, dia dimaklumkan suaminya terlibat kemalangan ngeri yang meragut nyawa rakan setugas. Difahamkan suaminya yang juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlibat dalam kemalangan ketika bertugas di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran susur keluar Senawang, Negeri Sembilan, pada malam Khamis.“Pukul 1 pagi mesti dadi (suami) dah sampai rumah, tapi pagi ini yang sampai baju dadi yang berlumuran darah. Allahuakbar, sumpah aku tak kuat.“Sedekahkan al-Fatihah buat sahabat suami saya dan doakan semoga suami saya cepat sembuh,” tulisnya di Threads.Dalam hantaran sama, dia turut meluahkan rasa bersyukur kerana suaminya masih dipanjangkan umur, meskipun berdepan detik hitam di sisi sahabat yang rapat dengannya ketika kejadian berlaku.“Tak terbayang kalau dadi ada dalam kereta masa itu. Alhamdulillah, Allah masih lindungi dadi lagi.“Al-Fatihah buat abang Azrul (Scoby). Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin,” katanya.Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, seorang anggota JPJ maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jabatan berkenaan dan sebuah lori yang sedang diperiksa dirempuh sebuah lori lain.Kejadian dipercayai berlaku ketika anggota JPJ berkenaan menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di lorong kecemasan sebelum sebuah lori dari arah belakang hilang kawalan lalu merempuh kedua-dua kenderaan berkenaan.