PENDAKWAH Ustaz Wadi Annuar bersama beberapa kakitangannya terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan Air Banun, Tasik Banding, Gerik, Perak, awal pagi Jumaat.Kemalangan dipercayai berlaku sekitar pukul 2 pagi itu membabitkan kenderaan Toyota Vellfire dinaiki Wadi dengan sebuah lagi kenderaan. Menerusi perkongsian seorang sukarelawan, Mohd Amir Faizal dalam video yang dimuat naik sekitar pukul 4 pagi, keadaan Wadi, 43, dilaporkan stabil dan kini mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Gerik."Keadaan ustaz Wadi stabil dan boleh bercakap, cuma dia ada mengadu bahagian dada dan perut ada kesakitan (akibat kemalangan)."Ustaz duduk di bahagian belakang. Bila kena (kemalangan kereta bertembung) tu, terpelanting habis semua," katanya.Tambahnya, seorang lagi ustaz yang turut menaiki kenderaan bersama Wadi dalam kejadian itu mengalami kecederaan di bahagian lutut dan dagu.Menurut Amir, pendakwah berkenaan turut menjalani pemeriksaan imbasan X-ray di hospital berkenaan.Pendakwah itu turut mengesahkan kejadian berkenaan menerusi hantaran di Facebook yang memaklumkan dirinya terlibat dalam kemalangan.Menerusi hantaran itu, orang ramai turut diminta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua mangsa yang terlibat."Dukacita dimaklumkan bahawa Ustaz Wadi Annuar bersama beberapa orang staf telah terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan di Gerik, Perak."Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terlibat," tulisnya dalam hantaran tersebut.Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan agar Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan terbabit.Menerusi hantaran di Threads, Anwar berharap segala urusan rawatan dipermudahkan selain mendoakan agar pendakwah itu diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berkenaan."Mendoakan Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi Jumaat."Moga Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini."Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat," doa Anwar dalam hantaran berkenaan.