KEDIAMAN Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur digazetkan sebagai penjara bagi membolehkan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.Pengisytiharan itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengikut Seksyen 3 Akta Penjara. Menerusi Warta Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan Jabatan Peguam Negara pada Jumaat, pengisytiharan tersebut meliputi semua bangunan dan kawasan kediaman berkenaan seluas 4,559 meter persegi atau 0.4559 hektar."Ia adalah bagi maksud Akta tersebut untuk memenjarakan atau menahan orang yang berada dalam jagaan yang sah," menurut pengisytiharan itu.Langkah tersebut disusuli selepas penyelesaian bayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib bagi pengampunan bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd.Menurut laporan berkenaan, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.Susulan itu, pasukan peguam Najib dilaporkan tiba di Penjara Kajang pada pukul 2.15 petang Jumaat bagi menyerahkan perintah mahkamah untuk pelaksanaan tahanan rumah tersebut.Bagaimanapun, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee memaklumkan masih terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan sebelum Najib boleh menjalani tahanan rumah.Untuk rekod, Najib menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.