suria

Jururawat cuci luka ibu terpinggir dalam bas, "Dia ada 5 anak tapi semua tak hiraukannya"

Wanita ini ditemui Faku dalam bas pada Jumaat lalu. FOTO: Twitter @FakuAman

PETALING JAYA: Kisah seorang wanita yang didakwa membawa diri dari Kuantan ke Kuala Lumpur akibat dipinggirkan anak-anak ternyata menyentuh hati netizen.

Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Faku Aman, 19, ibu malang itu turut mendakwa dirinya diragut sejurus tiba di ibu negara dan kini sedang mencari kerja untuk menampung hidupnya.

Menurut Faku yang merupakan pelajar bidang perubatan yang sedang menjalani penempatan klinikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) , dia bertemu wanita berkenaan di dalam sebuah bas dari Terminal Bas Pekeliling, Titiwangsa, Jumaat lalu.

"Dalam perjalanan ke KL Sentral, dia duduk bersebelahan saya. Dia tanya saya kerja apa, mungkin sebab dia nampak saya memakai uniform jururawat.

"Dia bercerita mengenai dirinya, katanya dia tak ada duit sebab kena ragut. Lepas dia cerita tu baru saya terfikir untuk tanya mengenai keluarganya.

"Dia cakap ada lima orang anak tetapi semua tak hiraukannya. Suami pula dah tak ada, sebab itu dia datang ke Kuala Lumpur untuk cari kerja. Malah dia turut bercerita mengenai anaknya kena rogol pada usia 17 tahun.

"Saya juga perasan ada luka di kakinya, kebetulan saya ada terbawa ubat. Terus saya keluarkan, bersihkan luka dan balutkan kakinya" ujar Faku ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Perkongsian Faku pada Sabtu lalu yang menerima lebih 13,000 ulang kicau (retweet).

Tambah Faku, dia bertindak sedemikian kerana sudah diterap dengan sikap seperti itu dan menganggap semua pesakit seperti ibu-bapa sendiri.

Malah katanya, beberapa penumpang dalam bas berkenaan turut memandang aneh apabila dia berada di atas lantai sewaktu membersihkan luka wanita itu.

Perkongsian Faku yang dibuat menerusi laman Twitter pada Sabtu lalu menarik perhatian ramai sehingga menerima lebih 13,000 ulang kicau (retweet).

Selain itu, beberapa individu turut menghubungi Faku bagi menyalurkan bantuan kepada wanita berkenaan.

"Saya tak pasti di mana dia berada sekarang. Waktu saya tanya dia nak turun di hentian mana, dia macam tak ada hala tuju.

"Dia naik bas pun sebab nak berehat, katanya dia dah penat berjalan, kat luar cuaca panas. Jadi saya turun di KL Sentral.

"Sekarang saya tengah cuti, InsyaAllah saya akan kembali bertugas pada Rabu ini dan saya akan cuba cari dia sekitar Terminal Bas Pekeliling, tempat kami mula-mula jumpa," katanya lagi.

Menurut Faku, terdapat individu yang mahu menawarkan pekerjaan kepada wanita itu dan menawarkan bantuan kewangan.

Dalam pada itu, Faku turut berharap perkongsian berkenaan akan dibaca oleh anak-anak dan keluarga wanita itu jika benar apa yang diceritakannya tempoh hari.

"Ramai lagi individu di luar sana yang tiada ibu-bapa, jadi jaga baik-baik dan sila beri perhatian sebagaimana mereka jaga kita sewaktu kecil," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain