PETALING JAYA: Usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tidak pernah lekang dengan kontroversi dan namanya menjadi bualan hangat netizen baru-baru ini. Segalanya bermula apabila dia menggunakan perkataan berbaur penghinaan terhadap seorang wanita ketika mempromosikan produk kecantikannya dalam program Gegar Vaganza yang sedang bersiaran langsung pada Ahad lalu. Aliff Syukri menyifatkan wajah penonton wanita itu seakan-akan bomoh sehingga mengundang rasa kurang senang orang ramai dan juga selebriti tempatan. Namun seorang pembantu psikologi terkenal, Aiman Amri tampil menjelaskan mengenai perbuatan Aliff Syukri dari sudut psikologi. "Kecoh isu Alif Syukri baru-baru ini panggil perempuan hodoh, bomoh, susuk dan pegang muka perempuan tanpa minta izin. "Ada penjelasan psikologi di sebaliknya. Nak tahu? Aku bukan sokong dia, hanya memerhati dan menganalisis," katanya. Menurut beliau, Aliff Syukri merupakan seorang yang mempunyai personaliti dramatik. Aiman Amri "Untuk kes Aliff Syukri, perangai dia memang jelas dramatik. Suka wow, gaya pelik, nak stand out. "Senang cerita, publisiti adalah kawan dia, tidak kira berapa murahnya. Itu keperibadiannya (tetapi bukan alasan untuk menghina orang lain)," katanya. Dalam pada itu, Aiman berkata Aliff Syukri pernah mendedahkan beliau menghidap disleksia iaitu suatu gangguan proses belajar. "Maksudnya keperluan khusus seseorang yang ada masalah membaca, mengira, dan otak tak dapat memproses koordinasi visuo-spasial. "Senang faham, kau baling bola kat orang disleksia, mereka susah nak tangkap," katanya. Bagaimanapun Aiman berkata penyakit tersebut tidak menjawab kenapa dia berperwatakan sedemikian. "Cuma, bila seseorang tu dah ada sejenis kecelaruan perkembangan neuro macam tu, kemungkinan untuk ada lagi kecelaruan lain itu akan lagi tinggi berbanding orang biasa," katanya. Posting Aiman tular di media sosial. Jelas Aiman lagi, Aliff Syukri juga seorang yang sangat impulsif iaitu cepat melatah, bersemangat dan tak ada butang 'pause'. "Main lepas cakap. Tak fikir dulu sebelum buat. Sangat 'hyper' dan semangat berkobar-kobar. "Aku tak terkejut tengok perangai dia macam tu. Cuma aku sedih bila tak ada nampak bibit penyesalan pun dalam respons dia isu tersebut," katanya. Jelas Aiman, beliau juga sudah lama mengesyaki Aliff Syukri ada simptom kemurungan. "Walaupun dia nampak bahagia, seronok promosi dan gelak macam nak mati, tu semua topeng. "Dan tindakan pelik dia baru-baru ini membimbangkan. Dia mencari perhatian. Satu panggilan untuk bantuan," katanya. Meskipun kecewa dengan perbuatan tersebut, Aiman turut bersimpati dengan penaja program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu. Penonton yang terbabit dalam insiden tersebut mendakwa segalanya sudah dirancang. "Allah uji dia dengan harta banyak, dikenali ramai, tapi dengan hati yang kosong dan sepi. "Jika anda tanya saya, saya lebih suka kehidupan biasa tetapi penuh dengan kegembiraan dan kenangan bersama orang tersayang," katanya. Berdasarkan pemerhatian Aiman, secara kesimpulannya beliau berpendapat Aliff Syukri seorang yang mempunyai personaliti dramatik, impulsif tinggi dan depresi. "Tiga point yang aku nampak. Mungkin penjelasan tindakan dia selama ini atau bisnes dia semakin sukar dan dia tengah buat pemasaran murah. Anda tentukan yang mana satu," katanya. Aiman turut menafikan bahawa penjelasan tersebut dilakukan sebagai tanda menyokong Aliff Syukri. "Aku bukan sokong dia, okay? Aku hanya buat pemerhatian dan analisis berdasarkan apa yang aku nampak dalam media sosial atau berita online," katanya. Bebenang Aiman mengenai Aliff Syukri menjadi tular di Twitter dan diulang kicau lebih 4,000 kali dan mendapat 3,000 tanda suka.