suria

Pramugara cakap Kelantan pesan minuman dianggap biadab, persenda barista

Arieff Effenddy dikecam oleh netizen selepas memuat naik video membuat pesanan minuman dalam dialek Kelantan. - Foto Twitter @arepyong

PETALING JAYA: Seorang pramugara syarikat penerbangan tempatan dikritik hebat di media sosial gara-gara memuat naik video memesan minuman menggunakan loghat Pantai Timur.

Menerusi video berdurasi satu minit 42 saat itu, Arieff Effenddy Yong (gambar), 22, cuba bertutur dalam dialek Kelantan ketika hendak membeli minuman teh hijau latte melalui khidmat pandu lalu di sebuah kedai rangkaian kopi popular.

Rakaman yang dimuat naik pada petang Sabtu itu mendapat perhatian netizen sehingga ditonton lebih 431,000 kali dan menerima 22,599 ulang kicau.

ARTIKEL BERKAITAN: Pramugara Miliki Bakat Tiru Pelbagai Loghat Global

Komen Redza Minhat terhadap posting yang dimuat naik oleh Arieff Effendy. - Twitter @rdzaminhat

Video tersebut turut mendapat perhatian pelakon Redza Minhat yang berpandangan perbuatan pemuda itu tidak beradab.

"Aku rasa ini biadab. Tapi, apa sahaja untuk dapatkan perhatian pada masa ini," tulisnya di Twitter.

Redza, dalam nada sindiran turut mendakwa bahawa kakitangan kafe tersebut sudah dibayar untuk mendengar permintaan lelaki berkenaan yang berbuat begitu untuk meraih bilangan ulang kicau.

"Mungkin anda tidak rasa biadab sebab anda b****p. Tiada keraguan lagi.

Segelintir netizen menganggap perbuatan pramugara tersebut tidak melampaui batas.

"Sudah tentu, seorang barista dibayar untuk mendengar anda cuba meraih 'retweets', demi suka-suka. Yeay, semua orang menang," ujarnya.

Pandangan pelakon itu turut disokong oleh beberapa pelayar Twitter yang berpendapat video tersebut tidak melucukan, malah menyinggung perasaan masyarakat Kelantan.

Pemilik akaun @fxka_ berkata, dia pernah berdepan dengan sikap pelanggan seperti itu dan perbuatan tersebut tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan.

Antara komen lain yang ditinggalkan oleh pelayar Twitter berhubung isu tersebut.

"Aku rasa ni biadab sebab aku pernah hadap pelanggan 'kurang pandai' macam ni. Sebab apa aku kata begitu?

"Tak kisah pun kau tak kenal atau kenal barista tu siapa, tapi tak bermakna kau boleh memperbodohkan orang sebab dia hanyalah barista. Aku tak rasa bergurau hal macam ni," ujarnya.

Sementara itu, @maisaamuha pula berkata: "Tolong faham dahulu isu biadab dalam video ini. Biadab sebab dia mempersendakan kerja orang lain.

"Jangan bazir masa orang kerja untuk lawak bodoh atau 'prank'."

Bagaimanapun, @lubsushhi2 pula berpandangan bahawa niat Arieff Effenddy hanyalah ingin menunjukkan kakitangan kafe tersebut tetap melayan pelanggan dengan baik walaupun dialeknya sukar difahami.

"Saya rasa niat lelaki ini adalah untuk menunjukkan betapa tenangnya barista tersebut kerana mengambil masa untuk dengar dan melayan dirinya dengan baik, walaupun dia bertutur dengan dialek Kelantan yang sangat pekat," katanya.

Pemuda yang sama pernah tular tahun lalu kerana insiden serupa selepas memuat naik video bertutur dalam loghat British ketika membuat pesanan minuman melalui khidmat pandu lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Arieff Yong

Artikel Lain