PETALING JAYA: Perkongsian terbaharu pendakwah Aimaan Banna mengenai hukum 'membeli pengikut Instagram' ternyata menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Turut mendapat perhatian ialah respon balas seorang pendakwah dan pakar motivasi, Ustaz Bakhtiar Fitri yang menegur Aimaan supaya lebih berhati-hati dalam meletakkan hukum haram terhadap sesuatu perkara baharu. Ustaz Bakhtiar sewaktu dihubungi mStar Online pada Isnin berkata, dia terpanggil untuk memberi pendapat mengenai kenyataan Aiman kerana apa yang disampaikan dilihat menyimpang dan kurang tepat. Ustaz Bakhtiar Fitri. "Saya tidak mengenali Aimaan secara peribadi, namun ada individu yang hantar Whatsapp pada saya mengenai kenyataan tersebut. "Saya rasa macam ada yang tak kena, terlalu simple dia letakkan hukum tanpa huraian. Ibarat fatwa ekspres tanpa merujuk Al-Quran dan Hadis. "Untuk mengeluarkan hukum, seseorang itu mesti ada kepakaran. Kalau tak ada kepakaran, kena rujuk orang lain untuk minta pendapat," ujar Ustaz Bakhtiar. Tambahnya lagi, seseorang pendakwah juga tidak boleh sesuka hati meletakkan hukum haram ke atas sesuatu perkara kerana ia adalah hukum yang berat dan melibatkan dosa serta pahala. Menurut pendakwah berusia 40 tahun itu, biarpun ada individu yang membeli pengikut bagi menambah keyakinan orang ramai terhadap produk mereka, jual beli produk berkenaan tetap sah dan menepati hukum yang sudah ditetapkan dalam Islam. Paparan skrin posting Aimaan Banna. "Tak haram jual beli sebab menepati hukum. Yang salah kalau kita tipu pembeli, cakap ramai orang beli produk biarpun sebenarnya tak laku. "Ini macam strategi pemasaran, kita upah orang untuk bantu perniagaan, macam upah orang buat marketing," katanya lagi. Tambah Ustaz Bakhtiar, dia juga mengalu-alukan Aimaan untuk bertemu dengannya bagi membincangkan perkara tersebut. Ujarnya, dia memuji usaha Aimaan dalam menyebarkan dakwah, namun meminta pendakwah itu agar lebih berhati-hati dan merujuk pakar agama terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang hukum. "Aimaan ni pada saya seorang yang bagus, dia suka pada agama, tapi saya rasa dia perlu bimbingan. Perlu berguru dan menuntut ilmu lagi. "Saya tak nak kerana kenyataan saya ini, saya jadi bermusuh dengan dia. Saya bercakap kerana ada orang rujuk dan minta pendapat mengenai hukum yang dikeluarkannya. Saya terbuka kalau dia nak jumpa," kata Ustaz Bakhtiar. Kenyataan Aimaan Banna turut ditularkan di laman Twitter. Malah, Ustaz Bakhtiar turut menasihati para netizen agar menjaga tutur kata dan tidak menggunakan bahasa kurang sopan dalam menegur pendakwah berkenaan. Dalam pada itu, perkara berkenaan turut mendapat perhatian ramai dan turut ditularkan oleh netizen di laman Twitter. "Nampak tak beza Mufti Wilayah punya penjelasan siap dengan hadis dan ayat Al-Quran. Siapa kita nak keluarkan fatwa sendiri. Based on apa?" tulis @myjoe_ sehingga menerima lebih 5,000 ulang kicau (Retweet). Posting asal yang dimuat naik oleh Aimaan ke laman Instagram miliknya pada Ahad menerima lebih 14,000 tanda suka. Dalam posting berkenaan, Aiman menjelaskan hukum membeli pengikut Instagram adalah haram kerana wujudnya unsur penipuan kepada pengikut baharu mahupun yang sedia ada. Perkhidmatan membeli pengikut di Instagram bukanlah perkara baharu, malah terdapat banyak pengendali Instagram yang secara terbuka membuat promosi untuk menambah bilangan pengikut dengan beberapa caj berbeza.