suria

Wajah perokok terpampang di skrin gergasi stadium, kata Syed Saddiq “Hormati hak orang lain untuk tidak mati awal...”

PETALING JAYA: Kecoh apabila tular gambar menunjukkan perbuatan seorang penonton yang selamba melanggar peraturan ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukti Jalil, malam Sabtu.

Penonton tersebut menjadi perhatian selepas dikesan menghisap rokok di dalam stadium, yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Menambah kemarahan netizen apabila skrin besar di stadium itu secara terang-terangan memberi peringatan "Dilarang merokok di stadium".

“Kan dah pesan jangan merokok dalam stadium. Bertimbang rasa lah pada orang sekeliling. Kita kan rakyat Malaysia yang prihatin,” menurut perkongsian akaun Twitter Stadium Malaysia pada Sabtu.

Terdahulu, gambar perokok yang tidak bertimbang rasa merokok di hadapan ribuan penonton di stadium itu dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter, @azraeimuhamad yang berang dengan tindakan tersebut, sehingga ia tular.

Susulan kekecohan tersebut, seorang netizen memberi cadangan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai tindakan yang sewajarnya dilakukan terhadap perokok yang ingkar dengan larangan merokok.

“Dicadangkan supaya ditunjukkan muka perokok tegar kat skrin gergasi. Buat sekali pengumuman secara langsung kepada perokok tegar yang degil nauzubillah tu. 

“Stadium adalah zon bebas rokok. Otak tu dah penuh asap rokok sampai bengap jadinya,” kata @encikISWAN sambil memaut akaun twitter rasmi Kementerian Belia dan Sukan dan Syed Saddiq.

Pada petang Ahad, Menteri Belia dan Sukan itu memberi respons dengan bersetuju terhadap cadangan yang diusulkan itu bagi mengelakkan kejadian tidak berulang.

“Saya setuju. Akan usahakan untuk perlawanan yang akan datang. Tolong hormati hak orang lain untuk tidak mati awal kerana second hand smoke,” katanya yang merujuk kepada orang ramai yang terdedah kepada asap rokok orang lain.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu turut menyatakan tanda pagar bagi maklum balas itu dengan #StadiumKitaRumahKita.

Kementerian Kesihatan turut menyahut persetujuan Syed Saddiq selepas isu merokok di dalam stadium mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan itu.

“Kepada perokok yang degil dan tak hirau teguran, awas mungkin wajah anda terpampang di skrin gergasi di stadium,” menurut tulisan di akaun rasmi Twitter kementerian itu pada petang Ahad.

Kementerian Kesihatan mengumumkan zon larangan merokok diperluaskan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, dengan kesalahan merokok di tempat awam boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain