suria

Isteri minta benda murah, suami beli barang mahal, "Dia terus tak jadi marah, muka bersinar-sinar"

Ahmad Farhan bersama isterinya, Natasha. Foto ihsan Ahmad Farhan.

MAHUKAN sebotol minuman bertenaga tetapi dapat sepasang kasut sukan berjenama mahal.

Situasi itulah yang dilalui Natasha Abdul Hamid yang dianggap bertuah apabila menerima kejutan berupa sepasang kasut sukan Adidas Boost daripada suaminya, Ahmad Farhan Salleh baru-baru ini.

Semuanya gara-gara perbualan mengenai permintaan untuk dibelikan sejenis minuman bertenaga disalah tafsir oleh suaminya.

Kisah lucu itu dikongsi Ahmad Farhan di Twitter dan mendapat perhatian netizen.

Posting tersebut dengan kapsyen 'Bini nak boost. So aku belikanlah boost ni. Sekali rupanya dia nak boost juice' mendapat perhatian netizen dan diulang kicau lebih 9,000 kali serta mendapat lebih 6,000 tanda suka.

Ahmad Farhan ketika dihubungi mStar Online memberitahu berlaku salah faham antara apa yang dikehendaki isterinya dengan apa yang terlintas di fikirannya.

"Ada suatu malam isteri saya beritahu dia rasa macam nak 'boost'. Saya pun cakap OK, nanti saya belikan. Saya pun masa tu terlupa pasal air yang dia minta dekat tempat kerja beberapa hari sebelum tu.

"Kebetulan masa tu saya teringat isteri baru daftar masuk gimnasium. Saya tak adalah nak tanya lebih-lebih sebab masa tu tengah leka tengok TV. Kemudian isteri saya pun tak ada tanya apa-apa lepas tu," katanya.

Posting Ahmad Farhan tular di Twitter.

Bagi memenuhi permintaan isterinya itu, Ahmad Farhan membuat tempahan kasut sukan tersebut secara dalam talian.

"Saya fikir isteri bersemangat nak pergi gim, jadi esoknya saya terus buka laman web dan cari kasut sukan itu.

"Malam tu isteri saya tak tanya pun mana boost tu, jadi saya pun buat tak tahu saja. Saya pun tak cakap kat dia yang saya dah beli boost tu," katanya.

Menurut Ahmad Farhan, dia menerima kasut yang ditempahnya itu empat hari kemudian.

"Bila saya sampai rumah isteri nampak saya pegang kotak kasut tu. Dia tanya 'beli kasut baru ke?'," katanya.

Jelas pemuda berusia 29 tahun itu, dia terkejut kerana isterinya seperti mahu memarahinya gara-gara memikirkan dia telah membeli kasut baharu.

"Muka dia macam nak marah sebab dia tahu perangai saya, memang 'hantu' kasut. Kemudian saya kata kat dia 'eh hari tu kan awak minta boost, ni lah dia, dah beli'.

"Dia pun cakap 'eh saya minta air boost kat tempat kerja tu, bukan kasut boost ni'. Saya pun macam 'hah', ye ke? Ingatkan nak kasut boost untuk pakai pergi gim nanti sebab tengok dia macam tak ada kasut sukan," katanya.

Tambah Ahmad Farhan lagi, dia tidak terfikir isterinya mahukan minuman bertenaga itu kerana dia sudah memaklumkan air tersebut sudah habis dijual di pejabatnya.

"Saya dah beritahu dia air tu dah habis dan stok tak sampai lagi. Saya kata kalau dah ada di pejabat nanti saya bawa balik. Tak sangka boost yang dia nak adalah air minuman bertenaga itu," katanya.

Natasha turut berkongsi dengan netizen kasut sukan dan air minuman dibeli suaminya.

Ditanya mengenai reaksi isterinya selepas menerima kasut tersebut, Ahmad Farhan berkata isterinya amat gembira.

"Dia terus tak jadi marah, muka bersinar-sinar dapat kasut baharu. Air boost strawberry yang dia nak pun terus dilupakan.

"Selepas dua hari, dia minta semula minuman tu. Balik kerja saya bawa air tu untuk dia. Akhirnya bukan je kasut tapi air pun dia dapat sekali," katanya.

Ahmad Farhan berkata dia tidak menduga posting mengenai kisah lucu itu menjadi tular di Twitter.

"Saya pun tak sangka tweet tu akan jadi viral sebab saya hanya ingin berkongsi kisah lucu itu sekadar untuk suka-suka," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
air boost, kasut sukan, Adidas

Artikel Lain