suria

Dipandang rendah kerana sarung uniform 'pak guard', kini pemuda ini sudah bergelar penganalisis IT

Kiri ketika Azwan pernah bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan pada usia 20 tahun.

BEKERJA secara sambilan ketika tiba musim cuti semester bukanlah perkara asing bagi penuntut universiti.

Tidak terkecuali graduan sebuah universiti terkemuka negara yang memilih untuk mencari duit poket ketika bergelar mahasiswa.

Menariknya, Azwan Ali, langsung tidak memilih pekerjaan, malah sanggup menimba pengalaman sebagai seorang pengawal keselamatan ketika cuti semester.

Pemuda berasal dari Kuala Lumpur yang berkongsi gambarnya dalam dua persalinan berbeza di Twitter berjaya menarik perhatian netizen.

Dua gambar tersebut menunjukkan Azwan memakai uniform pengawal keselamatan dan jubah graduasi yang disertakan dengan kapsyen: "Started from bottom, now we're here (Bermula dari bawah, kini kita di sini)."

Graduan Ijazah Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu ketika dihubungi mStar Online memberitahu, gambarnya memakai uniform pengawal keselamatan tersebut diambil selepas dia tamat mengikuti kursus latihan Pengawal Keselamatan Diperakui (CSG).

Azwan yang kini bekerja sebagai Penganalisis Teknologi Maklumat(IT)di syarikat multinasional minyak dan gas di Johor berkata, dia memang gemar mencuba pengalaman baharu tanpa mengira jenis pekerjaan itu.

Azwan juga pernah mengambil upah mencuci pinggan di medan selera selepas tamat tingkatan tiga.

"Sejak habis tingkatan tiga lagi saya dah mula bekerja sambilan. Dulu saya ambil kerja cuci pinggan dekat medan selera dan selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pula saya kerja di kedai serbaneka.

"Bila masuk universiti, saya nak cuba jadi pengawal keselamatan pula. Ketika cuti semester tiba sahaja, saya akan buat part-time jadi sekuriti di kawasan taman perumahan," katanya.

Jelas pemuda berusia 22 tahun ini, dia melakukan pekerjaan tersebut bukan kerana mempunyai masalah kewangan, malahan kedua ibu bapanya mampu menyara mereka sekeluarga.

Azwan merupakan seorang graduan UTP.

"Saya tak ada masalah duit belanja pun. Tapi, saya jadi pengawal keselamatan sebab nak cuba rasa berada di tempat mereka.

"Sebelum ni kita ingat kerja mereka mudah, tapi sebenarnya tanggungjawab mereka besar untuk menjaga keselamatan," katanya yang dibayar gaji RM50 sehari ketika melakukan pekerjaan tersebut.

Anak ketiga daripada lima beradik itu tidak menafikan dia sering dipandang rendah hanya kerana menyarungkan uniform pengawal keselamatan.

Azwan bersama rakan seuniversitinya.

"Stigma orang yang memandang pengawal keselamatan ni tiada pelajaran tu memang biasa saya lalui.

"Sebenarnya, kita tak boleh pandang orang sebelah mata kerana semua pekerjaan adalah mulia.

"Kita saling memerlukan antara satu sama lain. Contohnya, kalau tiada orang kutip sampah, negara ni akan kotor," ujar Azwan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain