SEBAK sehingga bergenang air mata apabila mendengar lagu dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang satu ini kerana begitu mencengkam jiwa. “Ayah dan ibu, ayah dan ibu... Itulah permulaan kami. Dapat melihat bulan dan matahari, ahai...,” antara bait-bait lirik lagu berjudul Ayah dan Ibu. Menerusi penceritaan di dalam lagu yang cukup menyayat hati itu, tular sebuah video seorang anak kecil yang sedang duduk di lantai secara tiba-tiba menangis. Semuanya gara-gara ibunya menyanyikan lagu berkenaan buat anaknya yang merajuk selepas dimarahi kerana memukul abangnya. Walaupun Muhammad Amsyar suka membuli abangnya, tetapi dia seorang yang sensitif. Walaupun video tersebut diedit menggunakan suara ‘chipmunk’ tetapi kelihatan anak kecil itu menangis sehingga berjujuran air mata. Ibu kanak-kanak itu, Nabilah Huda Anuar, 27, berkata, video tersebut dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin selepas anak keduanya, Muhammad Amsyar Haq Muhammad Amir Azir, 4, sedang termenung kerana mahu dipujuk. “Sebelum tu, Amsyar menyakat abangnya yang berusia lima tahun ketika sedang bermain seorang. Dia tiba-tiba rampas mainan abangnya. “Bila abang dia cuba ambil semula mainan tu, Amsyar pukul abangnya. Dia ni memang suka buli abang dia, si abang pula jenis penyabar dan tak suka balas mungkin sebab tu adik dia. Sudahnya abangnya menangis dan saya marah dia sebab kacau abang dia,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Nabilah bersama tiga anak lelakinya. Ibu tiga anak ini berkata, dia sedang melihat media sosial ketika anaknya sedang merajuk, sehingga menemui satu perkongsian lagu Ayah dan Ibu. “Saya pun menyanyilah lagu tu depan Amsyar. Mula-mula dia termenung sebab itu memang cara dia bila mahu kita pujuk, tak kira dia betul atau salah. “Tapi baru 38 saat saya menyanyi, Amsyar tiba-tiba menangis. Anak kedua saya ni walaupun suka membuli dan menyakat, tapi hati dia tisu, mudah menangis,” katanya secara berseloroh. Nabilah yang merupakan jurusolek berkata, dia tidak menyangka lagu yang dinyanyikan itu boleh menyebabkan anaknya begitu emosi. Muhammad Amsyar yang berusia empat tahun merupakan anak kedua daripada tiga beradik. Dia yang menetap bersama keluarga di Setia Alam, Shah Alam memberitahu, anaknya juga pernah bergenang air mata sekiranya terdapat sesuatu yang menyedihkan. “Kalau Amsyar tengok drama ke, kalau ada babak sedih, dia akan beritahu saya yang dia sedih dan menangis,” katanya sambil menambah bahawa audio video itu ditukar kepada suara ‘chipmunk’ kerana mahu memendekkan durasinya. Walaupun tidak mengalirkan air mata, tetapi Nabilah akui sebak menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman itu kerana mesejnya mengenai kasih sayang kepada ibu bapa. Jelasnya, lagu seniman kebanggaan negara itu membuatkan hatinya bersyukur masih diberi kesempatan untuk menyayangi ibu bapanya. “Mungkin tanpa kita sedar sebenarnya ibu bapa memerlukan kita. Walaupun sesibuk mana pun, luangkanlah sedikit masa bersama mereka. “Saya nasihat anak-anak supaya jangan nakal, nanti ibu sedih. Macam Amsyar, lepas menangis tu dia bangun pergi jumpa abang dia dan minta maaf,” katanya sambil berharap lagu tersebut sedikit-sebanyak memberi pengajaran buat anak-anaknya.