suria

Gadis tawar ‘braces’ murah promosi akhir tahun... tapi apabila Dr Amalina ‘bersuara’, terus padam tweet

Dr Nur Amalina Che Bakri. foto Instagram Dr Amalina.

HANYA bermodalkan RM170, anda sudah dapat memasang pendakap gigi (atas dan bawah), tetapi jika mahukan servis sekali, anda hanya perlu tambah lagi RM50.

Murah bukan? Itulah harga promosi akhir tahun yang ditawarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya mahir memasang pendakap gigi.

Paparan skrin mengenai promosi pemasangan pendakap gigi oleh gadis tersebut turut tular di Twitter sehingga mendapat perhatian doktor popular, Dr Nur Amalina Che Bakri, petang Rabu.

Curiga dengan tawaran perkhidmatan yang agak tidak masuk akal itu, Dr Amalina bertindak membalas tweet gadis berkenaan di Twitter dengan bertanya adakah dia seorang doktor gigi.

"Boleh anda jelaskan, adakah anda seorang doktor gigi?," tulis Dr Amalina.

Sejurus ‘disapa’ Dr Amalina, gadis tersebut yang menggunakan nama @ayinqess bertindak memadam postingnya itu.

Dr Amalina dikenali sebagai seorang doktor yang lantang bersuara dan sering berkongsi ilmu perubatan di media sosial.

Bagaimanapun, Dr Amalina meminta netizen supaya membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara tersebut.

"Sekiranya ada sesiapa yang berjaya dapatkan paparan skrin, sila lapor ke @KKMPutrajaya, terima kasih," katanya.

Posting gadis tersebut turut dikecam hebat oleh netizen yang menyifatkan harga ditawarkan sebagai tidak masuk akal.

"Murah betul nak pasang braces fake tu," kata Putri Aminatul.

Syazaibrahim berkata,"Terus padam tweet. Nampak sangat menipunya."

Hexrtless_girl berkata,"Dia buat kat rumah je doktor. Macam bukan dentist je. And bila tanya pasal certificate terus tak jawab."

Seorang lagi pelayar Twitter @shamod turut memuat naik paparan skrin akaun Instagram milik individu tertentu yang dipercayai menjual pendakap gigi palsu.

Paparan skrin promosi 'braces' yang ditawarkan seorang gadis bernama Ain tular di Twitter pada Rabu.

mStar Online cuba membuat siasatan dengan menghubungi nombor telefon yang tersebar dan menyamar sebagai pelanggan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Seorang gadis mendakwa dia baru sahaja menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi di sekitar Pulau Pinang dan Kedah, sebulan yang lalu.

"Saya baru sebulan buat ni. Alhamdulillah. Saya terima appointment di sekitar Pulau Pulau dan Kedah sahaja.

"Braces kan mahal. Jadi kami sediakan perkhidmatan ini untuk orang yang tak cukup bajet," katanya yang beroperasi mengikut lokasi dikehendaki pelanggannya.

Ditanya mengenai proses pemasangan pendakap gigi itu, gadis tersebut berkata dia mempelajari teknik tersebut daripada 'individu' terlatih.

"Ini bukan rawatan di klinik tapi kami belajar pasang braces dari yang terlatih.

"Jadi kami pakai modal kami beli semua barang braces. Sebab tu kami boleh tetapkan harga sendiri yang murah," katanya yang mendakwa turut mempunyai pembantu semasa proses tersebut dilakukan.

Paparan skrin mesej antara wartawan mStar Online dengan gadis yang dikenali sebagai Ain.

Gadis tersebut mendakwa proses pemasangan pendakap gigi tersebut hanya mengambil masa selama sehari dan pelanggannya tidak akan merasa sakit.

Dalam pada itu, Dr Ibrahim Shahruddin yang juga doktor bedah pergigian turut menggesa netizen supaya menyebarkan keratan bergambar mengenai pendakap gigi palsu bagi membanteras doktor gigi palsu di negara ini.

"Simpan dan sebarkan gambar ini supaya anda boleh buat aduan mengenai doktor palsu yang menyediakan perkhidmatan kepada orang yang tidak bersalah dan menyebabkan lebih banyak kemudaratan," katanya.

Kes doktor gigi palsu bukan sesuatu yang baharu.

Pada September tahun lalu, seorang gadis graduan Kolej Vokasional, Nur Farahanis Ezzaty Adli atau dikenali sebagai Nara diperintah membayar denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen.

Antara gambar pelanggan yang dikongsi gadis tersebut kepada mStar Online.

Nara ditahan pihak berkuasa ketika sedang menyediakan khidmat memasang pendakap gigi kepada seorang pelanggannya dalam sebuah bilik di situ, sementara di luar ada tiga lagi sedang menunggu untuk mendapatkan khidmat sama.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Dr Amalina, braces

Artikel Lain