suria

"Jangan jadi macam saya" - Dulu rimas layan ibu, awek & Dota lebih penting, kini pemuda menyesal tak sudah

Gambar kenangan Iman (dua dari kiri) bersama arwah ibu dan ahli keluarganya. Foto ihsan Imanzulhilmi.

BENARLAH kata orang bila seseorang yang paling kita sayang sudah tiada barulah kita merinduinya.

Malah pada saat itu juga kita akan sedar betapa kehilangan orang tersayang itu amat menyakitkan.

Begitulah luahan Imanzulhilmi Muhd Yusuff Wahid yang sehingga hari ini masih merindui belaian ibunya yang meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.

Luahan tersebut berserta paparan skrin perbualan WhatsApp ibunya dimuat naik oleh anak bongsu daripada empat beradik itu dalam satu bebenang di Twitter dan diulang kicau sebanyak 10,000 kali dan mendapat 7,100 tanda suka.

Menurut Imanzulhilmi, dia sangat terkilan kerana tidak memberi layanan yang sempurna kepada arwah ibunya, Latifah Jamaluddin sebelum insan kesayangannya itu pergi buat selama-lamanya.

Mesej perbualan ibu yang masih disimpan Iman sehingga hari ini.

"Saya sepatutnya luangkan banyak masa dengan arwah mama dan WhatsApp dia selalu. Bila dia WhatsApp pun patutnya saya layan dia dengan betul, tapi tak… saya balas macam nak tak nak.

"Masa tu juga saya lebih pentingkan awek dari mak sendiri. Saya pun sibuk dengan kawan dan banyak main game. Kalau mama minta tolong belikan barang dapur dan macam-macam lagi, saya rasa kadang-kadang perkara itu merimaskan.

"Saya rasa serabut dan malas sangat walaupun masa tu saya tengah free. Jadi banyak benda yang saya rasa saya buat mama sakit hati cuma saya tak perasan. Saya amat bodoh. Maafkan Iman mama… Iman terlalu rindukan mama," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Imanzulhilmi atau lebih mesra disapa Iman berkata ibunya meninggal dunia pada 8 April 2017 akibat toksin terlalu banyak di dalam badan.

Katanya, setiap kali terkenangkan ibunya, dia akan membaca setiap mesej kiriman ibunya yang masih disimpan sehingga hari ini.

"Saya memang tak padam perbualan saya dengan mama. Saya simpan dalam iCloud. Jadi bila teringat, saya tengoklah mesej dan belek-belek gambar lama bersama mama.

"Hari tu saya saja nak tengok history WhatsApp saya tiba-tiba ternampak mesej dengan arwah mama. Masa tu teringatlah semua kenangan bersama dia.

"Lepas tu saya buat tweet untuk luahkan apa yang saya rasa bila ibu bapa kita sudah tiada. Perasaan sedih tu hanya Allah saja yang tahu," katanya.

Pemuda berusia 23 tahun itu berkata andai dapat diputarkan masa, dia mahu meluangkan setiap masa dengan ibunya dan berubah menjadi anak yang lebih baik.

"Saya mahu buat mama gembira, layan dia sebaik mungkin, belanja dia makan, bawa dia pergi jalan-jalan dan tak nak kecewakan dia.

"Saya juga akan sentiasa dengar cakap dia dan jaga dia bila dia sakit. Saya juga mahu berubah jadi anak yang baik. Tiada siapa dapat gantikan tempat mama saya," katanya.

Ditanya mengenai kenangan paling manis bersama ibunya, Iman berkata dia masih teringat saat membawa ibunya menikmati makanan kegemarannya.

"Masa tu adik-beradik saya yang lain semua sibuk dan mama saya teringin nak makan dekat Cibiuk. Mulanya saya malas sebab jauh, nak ke Kajang pun dalam 40 minit dari rumah saya di Puchong dan waktu tu saya nak main Dota.

"Mama macam merajuk. Saya tak sampai hati tengok muka dia sedih dan bila fikir balik apa salahnya bawa mama pergi makan sekali sekala. Bila saya suruh dia bersiap bukan main gembira lagi dia.

"Bila dah habis makan masa tengah drive balik rumah, masa tu mama pandang muka saya dan cakap 'Iman terima kasih tau bawa mama pergi makan'. Saya amat gembira bila mama cakap macam tu," katanya.

Iman men yifatkan ibunya seorang yang penyayang dan amat menyukai kucing.

Dalam pada itu, Iman turut berkongsi kenangan bersama ibunya semasa dia sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Maran, Pahang.

"Ada satu hari tu, masa hari melawat. Ibu bapa saya tak dapat datang. Mama mengadu kat ayah yang dia rindu saya dan nak jumpa saya. Jadi ayah pun bawa mama datang kem PLKN semata-mata nak tengok saya.

"Kemudian beberapa minggu tak jumpa. Bila dapat pegang handphone pada hujung minggu, saya call mama. Saya tanya khabar dia, sihat ke tak, dah makan ke belum, rumah macam mana… saya tanya macam-macam.

"Borak punya borak tiba-tiba suara mama macam sedih. Saya tanya mama ok ke? Mama jawab 'Mama rindu Iman, Iman tak ada kat rumah, rumah jadi sunyi. Mama nak jumpa Iman'. Allahu, lepas tu saya dengar mama menangis dan saya pun turut menangis sekali," katanya.

Susulan itu, Iman yang kini bekerja sebagai barista mengingatkan anak muda supaya menghargai setiap masa semasa bersama ibu bapa masing-masing.

"Jangan jadi macam saya. Layan ibu bapa kita sebaik boleh selagi mereka masih ada.

"Saya cemburu setiap kali tengok kawan saya rapat dengan ibu bapa mereka sebab saya tak pernah macam tu dulu," katanya sebak.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
arwah ibu, rindu, Dota

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain