SEORANG anak terpaksa 'tipu sunat' semata-mata untuk membawa ibunya berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Menurut Zulhilmi Adzahar, dia bercadang membawa ibunya, Salmiah Paili,55, ke klinik selepas mengadu penat dan pening kepala. "Setiap hari memang saya bawa ayah ke klinik untuk cuci luka selepas pembedahan. Ayah, Adzahar Khalid menghidap kencing manis, jadi hari-hari perlu bawa jumpa doktor. "Alang-alang dah sampai klinik, saya pujuklah mak sekali jumpa dengan doktor dan seperti biasa, dia tak nak. "Saya minta beg tangan mak sebab nak ambil kad pengenalan saya kerana dompet dalam beg tangan dia. "Tetapi bukan kad pengenalan saya yang diambil, sebaliknya saya ambil kad pengenalan mak dan pergi daftarkan namanya di kaunter klinik. "Bila tiba giliran nama mak dipanggil, mak terus lari keluar. Dia yakin tak menghidapi sebarang penyakit sama ada kencing manis atau darah tinggi," ujarnya kepada mStar Online. Video tersebut yang turut mendapat perhatian netizen. Jelas Zulhilmi ketika melakukan pemeriksaan sebelum ini memang tahap kencing manis dan darah tinggi agak tinggi. "Tapi masa tu mak cakap dia takut dan anggap doktor yang silap. "Doktor nasihatkan mak suruh datang ke klinik tiga hari berturut-turut. Tapi mak memang tak nak pergi sebab takut," jelas Zulhilmi yang menjalankan perniagaan katering Kambing Golek di Tronoh, Perak. Pun begitu pemuda berusia 24 tahun itu tetap tidak akan berputus ada untuk terus membawa ibunya ke klinik bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. "Memang sudah menjadi tanggungjawab saya menjaga kedua-dua orang tua. Saya akan sentiasa berada bersama mereka dan yang penting jangan derhaka," jelas anak sulung daripada dua beradik ini. Video Zulhilmi yang merakam emaknya enggan berjumpa doktor itu dimuat naik di laman Twitter dan mendapat lebih 5,000 ulang kicau. Tipu mak tadi cakap aku nak pergi klinik gigi . Nak suruh die buat check up je . Die tahu die lari keluar guysss . howww??? pic.twitter.com/ol9OBlOMp6 — ??? (@Amy_Cathode) February 1, 2019