SETIAP wanita pasti mengimpikan untuk memiliki pasangan yang romantik dan kejutan pastinya menjadi momen paling dinanti-nantikan kaum Hawa. Begitu juga pasangan ini yang menjadi perhatian netizen gara-gara gelagat mereka ketika meraikan ulang tahun kelahiran isterinya, baru-baru ini. "My dad suprised my mom for her birthday, and this was her whole reaction. (Ayah buat kejutan untuk hari jadi ibu dan ini reaksi ibu)," tulisnya pada video yang dikongsi di akaun Twitter @Izzatierahmat pada Selasa, sehingga ia menjadi tular. Video berdurasi satu minit 43 saat yang dirakam anaknya, Nor Izzatie Rahmat, menunjukkan reaksi ibunya, Asmah Mohammad, 43, tersipu malu selepas menerima kejutan sebentuk cincin yang diletakkan di dalam kotak dipenuhi coklat sempena meraikan hari jadinya di sebuah restoran, 4 Februari lalu. Rakaman itu menerima lebih 177,000 tontonan dengan 11,000 ulang kicau dan lebih 15,000 tanda suka di laman sosial. Rata-rata netizen memberikan komen positif terhadap aksi romantik pasangan ini. Izzatie yang memuat naik video tersebut berkata, kenangan manis itu dirakam ketika mereka sekeluarga meraikan sambutan ulang tahun kelahiran ibunya yang ke-43 di sebuah restoran di Shah Alam. Gadis berusia 22 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Izzatie memberitahu ayahnya, Rahmat Mokhtar, 49, merupakan seorang yang romantik dan sering membuat kejutan untuk ibunya. ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan berlakon rupanya betul-betul, bapa tak sangka anak beri kejutan kereta "Ayah memang suka buat kejutan untuk ibu. Ia merupakan acara wajib setiap tahun. Setiap kali tiba hari jadi ibu dia akan ajak kami buat kejutan untuknya. "Sehingga sambutan hari guru pun dia tetap akan beri bunga, coklat dan ucapan cuma tahun ini agak istimewa sebab ayah rancang nak hadiahkan ibu cincin. "Ayah suka tunjukkan kasih sayang terhadap ibu dan itu membuatkan kami adik-beradik mendamba untuk memiliki suami seperti ayah," katanya ketika dihubungi mStar Online. Pasangan ini, Rahmat Mokhtar dan isterinya Asmah Mohammad dikurniakan tiga cahaya mata perempuan. Izzatie yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu turut menyifatkan kedua ibu bapanya sebagai pasangan yang romantis dan suka berjenaka. Katanya, ibunya yang bertugas sebagai guru tadika adalah seorang yang pemalu manakala ayahnya pula suka menyakat. "Apa yang anda lihat dalam video tu, begitulah ibu dan ayah saya. Ayah memang suka menyakat ibu dan dia seorang yang sangat romantis. "Walaupun sudah lama berkahwin tetapi mereka tetap sweet seperti pasangan baharu bercinta," katanya sambil menambah ibu bapanya telah membina rumah tangga lebih 23 tahun. Sementara itu, Izzatie berkata dia tidak menyangka reaksi comel ibunya menerusi video itu mendapat perhatian ramai. Video yang dimuat naik Izzatie mendapat perhatian di laman Twitter miliknya. "Ada di antara komen mereka yang buat saya rasa simpati kerana ada ibu bapa mereka yang sudah berpisah. Ia membuatkan saya bersyukur mempunyai keluarga yang sangat bahagia. "Saya harap video ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk saling melengkapi pasangan masing-masing. Cinta sejati tak pernah mati. "Ia bukan semata-semata kerana cincin itu sebaliknya bagaimana anda menyayangi pasangan anda. Ibu juga sering buat kejutan kepada ayah tapi ayah macam biasalah reaksi dia acah-acah macho, katanya.