suria

Pasangan 'takut nak kahwin' akhirnya gembira, berjaya buat majlis walau kos murah!

BAGI kebanyakan pasangan bercinta, wang menjadi kegusaran utama untuk mereka melangsungkan perkahwinan.

Sebelum disatukan sebagai suami isteri, banyak perkara yang perlu diambil kira termasuklah wang hantaran, kos pelamin, katering, khidmat fotografi, persalinan dan sebagainya.

Namun, perkongsian Nur Atikah Ismail, 25, di laman Twitter yang berjaya melangsungkan majlis perkahwinan dengan kos kurang RM10,000 menarik perhatian ramai.

Menurut Atikah, wang tersebut merupakan simpanan bersama suaminya, Mohd Fikri Razali, 26, yang dikumpul dalam tempoh enam bulan sahaja.

"Pertama sekali, cari benda yang paling murah. Saya survey satu persatu.

"Untuk wang bagi barang hantaran pula, kami ada target jumlah yang perlu disimpan setiap bulan.

"Macam saya, setiap kali dapat gaji, saya akan bahagikan untuk ibu-bapa, kos kahwin dan komitmen sendiri," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online, Selasa.

Majlis tu buat dalam satu hari sahaja. Kalau berhabis banyak, nanti kita sendiri susah. Orang tak rasa kehidupan kita selepas kahwin.

[ NUR ATIKAH ISMAIL ]

Disatukan secara sah pada Khamis lalu di Alor Star, Kedah, dia mengakui tidak berupaya untuk memuaskan hati semua pihak apabila menganjurkan majlis dengan kos serendah itu.

Namun kata Atikah, apa yang paling penting ialah persediaan untuk dirinya membina keluarga selepas berakhirnya majlis tersebut.

"Saya buat apa yang saya rasa betul. Kami fokus untuk rumah, baru fikir pasal kenduri. Kalau duit habis untuk kenduri, nanti rumah kosong.

"Alhamdulillah, kelengkapan rumah baharu kami sudah pun 70 peratus tersedia yang mana kami siapkan sebelum kenduri lagi.

"Majlis tu buat dalam satu hari sahaja. Kalau berhabis banyak, nanti kita sendiri susah. Orang tak rasa kehidupan kita selepas kahwin," katanya lagi.

Dengan sekali lafaz, Atikah sah menjadi isteri kepada Fikri, Khamis lalu.

Bagi menjimatkan kos majlis, Atikah turut mengadakan majlis akad nikah dan persandingan pada hari sama.

Ujarnya, dia mengenakan pakaian dan mekap sama untuk akad nikah pada pukul 11 pagi, Khamis lalu sebelum bersanding pada pukul 1 tengah hari.

"Untuk jimat kos, saya buat pada hari sama sahaja akad nikah dan sanding.

"Namun, penatnya pun dua kali ganda sebab buat sekali harung. Yang penting, tak perlu membazir duit," katanya.

Paparan skrin posting Atikah yang tular di laman Twitter.

Bercerita mengenai perkenalan dengan suaminya, Atikah dan Fikri mula berkenalan pada 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.

Pasangan 'senior-junior' itu kini bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat sama, di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, perkongsian Atikah di laman Twitter menerima hampir 4,000 ulang kicau (Retweet).

Gara-gara posting tersebut, ramai netizen memberi respon dan ada yang bertindak menghantar mesej peribadi (direct message) agar Atikah berkongsi tip untuk melangsungkan majlis kahwin dengan kos yang rendah.

Jelas Atikah, dia membuat survey bagi mencari kelengkapan majlis perkahwinan yang murah dan berpatutan. Pelamin ini misalnya berharga RM1,400 sahaja.

"Jangan pernah padam tweet ni tau. Nanti nak baca balik banyak kali for inspiration," tulis @eniirose_.

"Buat thread please hehehe nak tip," tulis @umializam pula.

Untuk majlis Atikah dan Fikri, mereka membelanjakan RM6,099 untuk khidmat katering (1,000 tetamu), RM1,400 untuk pelamin, RM450 (fotografi) dan RM450 (khidmat DJ).

Untuk cenderamata tetamu pula, dia menyediakan 500 beg dengan kos RM700 hingga RM800.

Kos itu bagaimanapun tidak termasuk dengan photobooth, mekap dan hantaran.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain