suria

Presiden terpikat pada setiausaha ketika kursus, jarak jauh tak halang jodoh

Anis dan suaminya bertemu pada Oktober 2017 (gambar kiri) dan disatukan pada 2 Februari lalu. Foto ihsan Puteri Anis Sofea.

JODOH datang dalam pelbagai cara. Ada yang disatukan atas pilihan keluarga, ada juga yang dipertemukan di media sosial dan sebagainya.

Pendek kata, setiap individu pasti ada kisah tersembunyi di sebalik perkenalan dengan pasangan masing-masing.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi kisah pertemuannya dengan suaminya di Twitter.

Perkongsian Puteri Anis Sofea atau lebih mesra disapa Anis menjadi tular dan diulang kicau lebih 6,000 kali dan mendapat 11,593 tanda suka.

Menurut Anis, perkenalannya dengan suami Muhammad Hassriee, 23, bermula semasa mereka mengikuti kursus di Akademi Imigresen Malaysia pada Oktober 2017.

"Masa tu kami mula diterima sebagai pegawai Imigresen dan kami berkursus selama 49 hari. Kami berkenalan pada minggu pertama sewaktu suami sebagai presiden dan saya setiausaha bagi Majlis Perwakilan Kadet.

"Tapi masa tu kami tak bercinta pun, hanya kenal biasa tapi suami selalu beri kata semangat dan sering beri perhatian terhadap saya," katanya kepada mStar Online.


Gambar Anis dan suaminya pada tahun lalu. - Foto ihsan Putera Anis Sofea.

Wanita berusia 20 tahun itu berkata dia tidak menyangka suaminya cuba mendekatinya pada minggu terakhir kursus.

"Saya nampak dia cuba nak dekati saya ditambah pula dengan usikan kawan-kawan, jurulatih kawad dan urusetia. Hari terakhir tu kami saja bergambar nak buat kenangan sebab rasa tak jumpa lagi lepas kursus.

"Jadi lepas kursus saya dapat posting di Johor manakala suami pula dekat Akademi (Port Dickson). Sejak itu hari demi hari saya nampak usaha dia nak pikat saya," katanya.

Sepanjang tempoh perkenalan singkat mereka, Anis berkata dia bagaikan tidak percaya apabila suaminya itu membuat lamaran semasa sambutan hari lahirnya pada Mac lalu.

"Dia lamar saya guna WhatsApp memandangkan kami duduk jauh dan jarang berjumpa.

Tweet Anis mendapat perhatian netizen.

"Pada awalnya saya ingat dia bergurau kerana dia memang peramah lagipun kami baharu sahaja kenal. Tapi dia sebenarnya betul-betul ajak saya nikah," katanya.

Jelas Anis, dia menerima lamaran tersebut dan mereka disatukan sebagai suami isteri pada 2 Februari lalu.

"Keluarga suami datang merisik pada 3 Ogos tahun lalu. Bila dia pun kata memang nak hidup berkeluarga, jadi saya pun rasa dia memang betul-betul serius.

"Kami tiada majlis tunang dan kedua-dua keluarga bersetuju untuk kami bernikah pada 2 Februari lalu," katanya.

Anis berkata dia menerima suaminya kerana mempunyai ciri-ciri lelaki idaman.

"Dia pembersih, tak pernah berkira, selalu mengalah dan dia layan keluarga Anis macam keluarga sendiri.

"Dia juga selalu beri kejutan kepada saya dan sering bawa keluarga saya pergi bercuti," katanya.

Pasangan ini duduk berjauhan selepas berkahwin dan sering percaya antara satu sama lain. - Foto ihsan Puteri Anis Sofea.

Memandangkan kedua-duanya duduk berjauhan selepas berkahwin, Anis berkata ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi mereka sering meletakkan kepercayaan antara satu sama lain.

"Saya duduk di Johor manakala suami di PD. Pada saya perkahwinan jarak jauh (PJJ) ini tak mudah tapi apa yang penting adalah kepercayaan setiap pasangan. Jangan selalu bersangka buruk.

"Sentiasa beri sokongan antara satu sama lain yang boleh menguatkan lagi ikatan cinta. Kalau ada masalah walaupun kecil cuba bincang dan selesaikan segera. Tak elok gaduh lama-lama," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kursus, jodoh

Artikel Lain